KUALA LUMPUR – Landskap politik Terengganu tidak akan mengalami perubahan yang ketara sekiranya calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Sabtu ini.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kemenangan itu akan menambah beban di bahu Ahmad Samsuri.
Menurut beliau, Menteri Besar Terengganu itu juga perlu membawa suara rakyat Kemaman khususnya penggundi Cina dan India yang merupakan golongan minoriti di kawasan Parlimen tersebut.
“Dengan memegang jawatan Menteri Besar dan Ahli Parlimen, Ahmad Samsuri perlu mempamerkan kehandalan dan kepintaran politik yang baik untuk menjadi pemimpin Pas yang inklusif.
“Beliau juga perlu mengekalkan nilai kepelbagaian dan kesederhanaan dan pada masa yang sama menangani isu nasional, yang mungkin memberi cabaran baginya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Hang Soon dan Ketua Wanita MCA, Wong You Fong serta Pengerusi MCA Terengganu, Dr Monna Ong Siew Siew turun padang menemui pengundi bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Bagaimanapun, Hang Soon meminta MCA Terengganu dan MCA Bahagian Kemaman bekerja keras bagi meraih sokongan pengundi Cina.
Beliau berkata, mereka perlu memastikan setiap undi diberikan kepada Raja Mohamed Affendi bagi membolehkan suara mereka dibawa ke Parlimen sekiranya kemenangan memihak kepada BN. – MalaysiaGazette