MELAKA – Sebuah kedai runcit menggunakan pekerja warga asing di sini bukan sahaja menjual barang kawalan tanpa permit, bahkan turut menawarkan daging mentah secara haram sejak lima tahun lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata, penemuan mengejutkan itu disedari sepasukan penguat kuasa ketika membuat serbuan di tingkat satu bangunan dua tingkat itu.
Menurutnya, tindakan dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada pengikut media sosial KPDN Melaka mengenai kesalahan dilakukan kawasan mini Dhaka itu di lokasi yang menjadi tumpuan mereka berkumpul setiap hujung minggu.
“Hasil serbuan, sebuah kedai runcit beroperasi di tingkat satu bangunan menjual pelbagai barangan kawalan tanpa permit termasuk produk berasaskan minyak dan hanya mempunyai lesen pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pemeriksaan ditingkat dua pula mendapati, ia dijadikan 10 bilik sewa selain terdapat sudut khas ditangga yang dijadikan tempat memotong daging dijual kepada warga asing,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan serbuan mengejut di premis berkenaan di sini hari ini.
Tambahnya, penemuan tempat memotong daging itu berdasarkan bau hamis daging di sudut tangga selain terdapat tempat kayu memotong daging yang ditutupi dengan kanvas.
“Ini adalah kes pertama dikesan KPDN Melaka dan keadaannya begitu teruk dan berharap PBT, Jabatan Imigresen (JIM) dapat sama membantu memeriksa kawasan ini.
“Dalam operasi hari ini, kita turut merampas barangan di dua buah kedai atas kesalahan tiada tanda harga dan pelabelan barangan yang salah,” katanya.
Ia menjadi kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993 dan memiliki barang kawalan tanpa kebenaran pengawal (Akta Kawalan Kekalan 1961).
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan lokasi di pintu masuk pelancong ke Melaka itu tidak ubah seperti ‘mini Dhaka’ apabila semakin ramai warga asing terutama Bangladesh membanjiri kawasan itu sejak lapan tahun lalu.
Tinjauan di Plaza Melaka Sentral itu mendapati, puluhan warga asing ‘bersidai’ di kaki lima bangunan rumah kedai dua tingkat itu sehingga mencacatkan pemandangan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.,” katanya. – MalaysiaGazette.
Alah,,cuba pergi dekat Balok perdana, Kuantan dan Balok makmur, kuantan, berambak bangla, rohingya sewa kedai jadi kan bilik,,dan kawasan perindustrian gebeng,di kawasan hardware,, berlambak bangunan tingkatan atas pejabat,, dah jadi macam setinggan bangla,,kawasan keras kot pahang,, haha