Netanyahu meletakkan batu asas yang mahu menjadikan Gaza wilayah Israel.

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengambil langkah simbolik untuk menjadikan Gaza wilayah negara itu selepas gencatan senjata tamat dengan meletakkan batu asas bagi pembinaan penempatan di kawasan milik Palestin itu.

Dalam perkongsian di X, Netanyatu menamakan penempatan berkenaan sebagai ‘Ofir’.

Katanya, beliau akan memulihkan Gaza dan akan memastikan penempatan baharu itu menjadi tempat untuk kanak-kanak Israel membesar dan mengenang jasa Ofir Liebstein yang telah dibunuh Hamas.

“Malam ini, batu asas diletakkan di Semenanjung Gaza untuk penempatan “Ofir” yang dinamakan sempena bekas ketua Negev Gate Council Ofir Liebstein, yang dibunuh oleh Hamas.

“Ofir adalah seorang pemimpin, seorang lelaki dari Tanah Israel, seorang lelaki pembinaan, lelaki penempatan. Kanak-kanak akan membesar di sini dan gadis-gadis yang akan dididik tentang sumbangannya, kepahlawanannya dan pengorbanannya.

“Kami akan memulihkan penempatan, memperluaskan penempatan dan menambah lebih banyak penempatan. Gandum akan tumbuh semula,” kata beliau.

Akhbar Israel The Juruselam Post melaporkan, Perdana Menteri Israel itu bersiap sedia untuk memulakan semula perang apabila jeda gencatan senjata berakhir.

Netanyahu berjanji perang di Gaza akan disambung semula apabila kabinet perang membincangkan pembebasan tebusan.

“Dalam beberapa hari kebelakangan ini saya telah mendengar satu soalan: Selepas melengkapkan tahap pemulangan tebusan kita, adakah Israel akan kembali bertempur? Jawapan saya adalah ya yang jelas,” kata Netanyahu.

“Tiada situasi di mana kami tidak kembali berjuang sehingga ke penghujungnya. Ini adalah dasar saya. Seluruh kabinet keselamatan berada di belakangnya. Seluruh kerajaan berada di belakangnya. Askar berada di belakangnya. Rakyat di belakangnya – inilah yang akan kita lakukan,” katanya.

Media melaporkan, Doha cuba untuk menjadi pengantara beberapa siri perjanjian yang boleh melanjutkan gencatan senjata sementara, yang tarikh akhir ditetapkan untuk tamat pada pagi Khamis.-Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast