ketua pembangkang Lim Kit Siang rasuah PRN
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan salah guna kuasa dan penyelewengan khususnya sistem meritokrasi dalam sistem pendidikan negara.

Pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, negara tidak mahu universiti tempatan menganugerahkan ijazah doktor falsafah kepada seseorang yang buta media.

“Mereka ini tidak dapat membezakan di antara perkara betul dengan salah atau membezakan di antara penipuan dan berita palsu dengan kebenaran dan fakta.

“Jika dibawa masuk ke Parlimen dan ia hanya membantu menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, DAP tidak pernah menentang Dasar Ekonomi Baharu (DEB) untuk memastikan golongan miskin dalam kalangan orang Melayu mendapat pendidikan tinggi dan menjadi golongan profesional.

“Kita tak halang orang Melayu berpeluang untuk menjadi doktor, peguam, dan jurutera kerana adanya orang miskin dalam kalangan bukan Melayu.

“Sebaliknya, kita menentang tindakan afirmatif sebegini untuk mengayakan golongan Melayu yang sudah kaya.

“DEB diniatkan untuk dilaksana selama 20 tahun dan sepatutnya tamat pada 1990, tetapi dasar ini telah diteruskan selama lebih dari 50 tahun,” katanya.

Tambahnya, sebagai satu permulaan, kerajaan sepatutnya mengakhiri salah guna dan penyelewengan yang ada dalam DEB.

“Malaysia telah keluar dari era ketidaktentuan politik yang telah memberikan negara kita empat orang Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun.

“Dengan Anwar Ibrahim kini terjamin dengan pentadbirannya sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 – sama ada pada tahun 2026 atau 2027.

“Anwar sepatutnya menumpukan kepada usaha perubahan dan reformasi dasar dan institusi yang telah dijanjikannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast