KUALA LUMPUR – Kenaikan harga makanan ternakan dan anak ayam telah menyebabkan penternak mengurangkan penternakan sehingga berlaku kekurangan telur dalam pasaran.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, walaupun kerajaan telah menyediakan subsidi, tetapi ia adalah tidak mencukupi dan wujud petanda kelewatan dalam pembayaran.
Beliau juga sekali lagi menyuarakan pendapat bahawa pengapungan harga telur merupakan cara paling berkesan untuk menyelesaikan masalah kekurangan.
“Keadaannya adalah seperti ayam. Apabila pengapungan harga dilakukan, maka bekalan ayam berjaya dipulihkan,” katanya kepada China Press.
Beliau berkata, harga kuih dan biskut raya akan mengalami kenaikan harga jika masalah kekurangan telur tidak dapat diselesaikan menjelang musim perayaan.
“Apabila harga telur gred A, B dan C tidak dapat diperolehi, maka peniaga akan menggunakan telur Omega,” katanya.
Menurutnya, pendapat untuk membenarkan pengapungan harga selepas bekalan telur stabil adalah kurang munasabah.
Jelasnya, langkah yang wajar sebaliknya adalah melaksanakan pengapungan harga untuk menstabilkan bekalan.
“Selepas pengapungan dibenarkan, harga telur pasti akan naik. Kenaikan harga telur bagaimanapun memberi ruang kepada penternak untuk menghasilkan lebih banyak telur.
“Kerajaan pula tidak lagi perlu terus menyediakan subsidi kepada penternak,” katanya.
Mengenai kos hidup yang mungkin meningkat jika pengapungan harga telur dilaksanakan, Ameer Ali berpendapat, kerajaan boleh membantu golongan berpendapatan rendah dengan menyediakan bantuan atau meningkatkan nilai bantuan.