Wan Saiful Wan Jan. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa bertindak tidak adil apabila menyaman kontraktor perkhidmatan kebersihan, keselamatan dan makanan di sekolah yang belum menerima bayaran mengikut kadar gaji minimum yang telah ditetapkan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Kementerian Sumber Manusia tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana kegagalan kontraktor yang gagal membayar gaji minimum kepada pekerja  berpunca daripada wang yang disalurkan Kementerian Kewangan tidak mencukupi.

Dalam masa yang sama beliau mendakwa, Kementerian Pendidikan yang  memperincikan isu tersebut memberi alasan tidak menerima peruntukan.

“Saya nak tegaskan bahawa syarikat-syarikat ini, yang boleh kata hampir semua adalah syarikat kecil dan sederhana Bumiputera, bukan mereka sengaja tak mahu bayar mengikut kadar gaji minima. Tetapi mereka tidak mampu bayar ikut kadar gaji minima kerana kerajaan bayar kepada mereka tidak mengikut kadar gaji minima. Bila kerajaan bayar tak cukup, maka syarikat tak cukup duit untuk bayar pekerja.

“Hari ini saya nak menyatakan rasa kesal kerana nampakya Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan masih tidak mempedulikan nasib syarikat-syarikat kecil dan sederhana Bumiputera ini.

“Nampanya Kerajaan masih terus menyaman mereka, walaupun sebenarnya yang gagal bayar kadar sebenar ialah kerajaan sendiri,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurut Wan Saiful, Kementerian Kewangan sepatutnya menyegerakan pembayaran tunggakan peruntukan kepada kedua-dua kementerian berkenaan supaya pihak kontraktor mampu membayar gaji pekerja.

Pada sidang media yang sama, Wan Saiful berkata, beliau dimaklumkan sebuah syarikat di Pulau Pinang hari ini diberikan notis panggilan ke Pejabat Tenaga Kerja di Butterworth pada 12 Disember kerana disaman akibat tidak mampu membayar gaji minimum mengikut kadar yang telah ditetapkan.?

“Kerajaan mesti melihat perkara ini dengan lebih serius. Bagi saya ini adalah satu intimidasi menggunakan undang-undang. Kali ini ia dikenakan kepada pengusaha-pengusaha syarikat yang mejoritinya SME dan Bumiputera dan ribuan pekerja yang juga kebanyakannya Bumiputera.

“Sedangkan punca asal masalah ini ialah kegagalan kerajaan memberikan bayaran mengikut kadar yang betul,” ujarnya.-MalaysiaGazette