Gelagat orang ramai menaiki bas RapidKL di antara Stesen LRT Masjid Jamek ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 30 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencatatkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam yang konsisten dengan hampir 1.1 juta sehari setakat 30 November 2023.

Daripada jumlah itu, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mencatatkan purata penggunaan harian sebanyak 835,119 merangkumi perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel.

Manakala purata penggunaan perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) adalah sebanyak 258,710.

Angka penggunaan harian tertinggi adalah 1,200,433 yang telah dicatatkan pada 22 November 2023, katanya.

Prasarana adalah pemilik serta pengendali perkhidmatan rel dan bas terbesar di negara ini.

“Angka-angka tersebut merupakan angka tertinggi penggunaan harian perkhidmatanperkhidmatan kendalian Prasarana yang dicatatkan semenjak negara dilanda pandemik Covid-19.

“Pada awal tahun 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Prasarana berkata, inisiatif-inisiatif berterusan yang diambil olehnya serta Rapid Rail dan Rapid Bus bagi mempertingkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhannya, termasuk dari segi ketersediaan perkhidmatan dan keadaan fasiliti serta kemudahan awam, telah menyumbang kepada peningkatan pengguna harian yang konsisten.

Bagi perkhidmatan rel, pihak Rapid Rail sedang dalam usaha menambah baik
perkhidmatan dalam memastikan perjalanan yang lancar tanpa gangguan bagi penumpang di kesemua laluan kendaliannya.

Sejak bulan September tahun ini, pihak Rapid Rail telah memulakan pengoperasian
empat buah tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek KLAV27 (Kuala Lumpur Additional Vehicle).

Baki 15 buah tren akan diterima secara berperingkat sehingga bulan Disember 2024.

Pada ketika ini, LRT Laluan Kelana Jaya secara purata beroperasi dengan 48 buah tren dengan kekerapan purata 3 minit.

Penggunaan MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Kajang juga menunjukkan angka yang memberangsangkan.

“Purata penggunaan MRT Laluan Putrajaya yang dilancarkan sepenuhnya pada bulan Mac tahun ini adalah sebanyak 127,872 pada bulan November, berbanding 122,720 pada bulan sebelumnya.

“MRT Laluan Kajang pula mencatatkan purata penggunaan harian seramai 225,705 pada bulan November, satu peningkatan daripada purata penggunaan harian sebanyak 219,576 pada bulan sebelumnya.

Angka ini dijangka bertambah menjelang bulan Januari 2024 apabila bilangan tren ditambah kepada 36 buah dengan kekerapan empat minit,” tambahnya.

Manakala Rapid Bus akan menambah bilangan bas di sekitar Lembah Klang bagi memenuhi permintaan yang meningkat serta demi menyelaraskan pengoperasian bas agar lebih efisien.

Dijangka sebanyak 1,000 buah bas akan beroperasi setiap hari menjelang hujung tahun ini, peningkatan daripada 762 buah pada awal tahun ini.

Selain itu,Rapid Bus juga melaksanakan projek percubaan laluan-laluan bas di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang (Jalan Rhu ke persimpangan Jalan Tun
Razak) yang bermula pada 3 Julai 2023 telah membuahkan hasil yang memberangsangkan, di mana Rapid Bus telah mencatat peningkatan jumlah pengguna sebanyak 15% di koridor tersebut.

Dua projek percubaan lorong bas baharu iaitu Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang (persimpangan Jalan Tun Razak ke Jalan Rhu) telah mula dilaksanakan pada 15 November 2023.

Prasarana komited menambah baik kesemua perkhidmatan rel dan bas serta fasiliti kemudahan awam di bawah kendaliannya secara berterusan bagi kemudahan dan keselesaan pengguna serta menggalak penggunaan pengangkutan awam.

Ini selari dengan agenda pengangkutan awam yang mensasarkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast