KUALA LUMPUR – Wartawan Al Jazeera di Australia, Mary Ann Jolley didakwa mempunyai agenda peribadi untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, fakta-fakta yang dikumpulkan Jolley telah ditokok tambah khususnya berkaitan kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shariibuu.
“Dia bukan wartawan sejati yang mahu mencari kebenaran,” katanya.
Beliau berkata demikian seperti dipetik daripada podcast Keluar Sekejap kendalian bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disiarkan hari ini.
Baru-baru ini, Jolley telah menemu bual bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang disabitkan atas kesalahan membunuh Altantuya pada 2006.
Dalam wawancara eksklusif yang disiarkan Al Jazeera English 101 East pada 24 November lalu, Sirul Azhar dilaporkan merayu untuk meneruskan hidup di Australia, sambil mendakwa berbahaya untuk dia kembali ke Malaysia.
Sirul Azhar juga mendakwa dia tidak bertanggungjawab atas pembunuhan Altantuya dan dijadikan kambing hitam serta diperangkap dalam permainan politik, di mana dia mengaku menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada sumber tidak dinamakan untuk tujuan ‘menutup mulut.’
Walau bagaimanapun, pada 25 November lalu, Najib melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menafikan semua dakwaan yang dibuat oleh Sirul Azhar.
Muhammad Shafee memberitahu, Jolley juga telah memungkiri janjinya semasa menemu bual Najib pada Oktober 2018.
Beliau berkata, Jolley pada mulanya berjanji untuk bertanya mengenai prestasi ekonomi Malaysia namun wawancara tersebut telah bertukar corak.
“Kita tahu Najib telah keluar daripada wawancara tersebut,” jelasnya.
Dalam wawancara tersebut, Jolley telah mengasak Najib dengan pelbagai soalan yang tidak berkaitan ekonomi Malaysia termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta pembunuhan Altantuya dan pengasas AmBank, Hussaini Najadi dan bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais. – MalaysiaGazette