Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Fahmi Fadzil ketika sesi wawancara Suara Anak Madani di Pusat Penyiaran ASWARA, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Buat masa ini Kerajaan Perpaduan tidak berhasrat untuk menutup mana-mana platform media sosial seperti TikTok, kata Ahmad Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata, kerajaan akan mengarahkan semua platform media sosial di negara ini berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Belum lagi (berhasrat menutup platform media sosial) jadi kita jangkakan mungkin dalam masa sebulan ini SKMM akan sediakan kerangka dan proses pendaftaran itu.

“(Jadi) berikan SKMM sedikit masa kerana kita masih kumpulkan beberapa perkara seperti pengalaman luar ataupun perbincangan kita dengan penyedia platform media sosial di Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas menjadi ahli panel rakaman program Suara Anak Madani bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasinya Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Program yang akan disiarkan di platform media sosial ini mengetengahkan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar sebagai moderator.

Jelas Fahmi lagi, langkah untuk tidak menutup mana-mana platform media sosial adalah selari dengan pegangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu prinsip kebebasan bersuara tidak disentuh.

“Kita tak berhasrat waktu ini untuk menutup platform seperti TikTok dan yang lain sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara.

“Tapi masa yang sama dengan adanya kebebasan itu mesti ada kebertanggungjawapan jadi sekiranya mana-mana pihak termasuk platform yang mungkin tersalah langkah ataupun menyatakan membuat kenyataan yang ekstremis disebar luar maka boleh diambil tindakan,” katanya lagi.

Malah Fahmi berkata, kerajaan akan mengambil langkah untuk mengawal platform media sosial supaya apa yang terjadi di Indonesia tidak berlaku di negara ini.

“Bila kita lihat keadaan di Indonesia mereka juga tidak berharap untuk mengharamkan atau menutup TikTok tapi kawal selia.

“Bagi TikTok Shop mereka melihat antara lain tidak mahu produk luar negara dilambakkan ke Indonesia,” jelas Fahmi lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast