KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa akan berasa malu jika Perikatan Nasional (PN) berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan wakil rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN lebih rela menanggung risiko Ahli-ahli Parlimen dari Bersatu menyokong Anwar.
“Lagi pun PN masih bernafsu untuk ambil alih Putrajaya melalui pintu belakang.
“Muhyiddin juga yakin dia boleh kembali jadi perdana menteri. Maka apa perlunya berunding?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Setakat ini, seramai lima Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Mohd Puad menambah, perkara paling pokok adalah Muhyiddin berasa amat aib dengan UMNO.
Menurut beliau, berunding dengan Anwar umpama mengemis dengan UMNO kerana parti itu adalah co-pilot Kerajaan Perpaduan.
“Dia tahu UMNO bukan penumpang,” jelasnya. – MalaysiaGazette