KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menulis sebuah puisi yang ditujukan khas kepada pengundi yang akan menunaikan kewajipan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman esok.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berharap para pengundi memilih calon yang diketengahkan oleh BN.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerusi puisi tersebut menyatakan calon BN, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bertekad menabur bakti kepada anak bangsa walaupun telah bersara.
Berikut nukilan Ahmad Zahid yang dipetik menerusi hantaran di Facebooknya hari ini:
“Jeneral Affandi
Walau bersara tetap bertekad menabur jasa
Demi kasihnya buat anak bangsa
Mahu masa depan mereka terbela-terjaga
Agar Kemaman Makmur Sejahtera
Jeneral Affandi sebahagian kita
Baitullah juga kiblat yang sama
Syahadahnya tidak berbeza
Solat yang lima tetap dijaga
Adab susila Melayu terus terpelihara
Ayuh bersama Kita membuat pilihan
Jeneral Affandi untuk Kemaman
Agar mencurah banyaknya Pembangunan
Makmur Sejahtera Rakyat Kemaman.”
PRK Kemaman yang akan berlangsung esok bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Raja Mohamed Affandi dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pada PRU15, Parlimen Kemaman menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Dua calon lain ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mendapat 506 undi. – MalaysiaGazette