Tangkap layar menunjukkan remaja lelaki berusia 13 tahun cuba samun pemandu e-hailing dengan mengacukan pisau pada dada warga emas terbabit dalam kejadian di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah pada 27 November lalu.

SUNGAI PETANI – Remaja berusia 13 tahun yang juga suspek kes cubaan samun pemandu e-hailing pada Isnin lalu, akan didakwa di mahkamah, esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pertuduhan terhadap lelaki itu akan dibuat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

“Kita telah rujuk kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri dan arahan untuk mendakwa remaja lelaki itu dibenarkan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

“Remaja yang masih bersekolah itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani esok,” katanya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki cuba samun pemandu e-hailing dengan bertindak mengacukan pisau ke bahagian dada pemandu warga emas itu dalam kejadian di Taman Keladi di sini, pada 27 November lalu.

Remaja itu mendakwa bertindak sedemikian susulan pemandu e-hailing berusia 65 tahun itu memakinya dan cuba mendapatkan kembali wang tambang ketika menggunakan perkhidmatan itu pada jam 6.20 petang.

Polis turut merampas sebilah pisau berhulu hitam sepanjang 25 sentimeter (cm) yang ditinggalkan suspek di dalam kenderaan mangsa ketika melarikan diri.

Remaja itu ditahan di rumahnya pada jam 10 malam hari sama setelah pemandu e-hailing itu membuat laporan polis berkaitan kejadian berkenaan kira-kira dua jam sebelum itu. – MalaysiaGazette