JOHOR BAHRU – Dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu, syarikat penjualan pakaian muslimah wanita, AL FARO Mall terus mengorak langkah dengan pembukaan cawangan baharu ke-10 di sini semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif AL FARO, Farooq Ahmed Khan berkata, keputusan berani itu diambil sejajar dengan permintaan pelanggan di sebelah selatan tanahair.
“Alhamdulilallah sambutan yang kami terima sangat baik sehinggakan kami berani mengambil keputusan untuk membuka satu lagi cawangan di sini.
“Pembukaan di Johor Bahru ini juga dilakukan berikutan permintaan pelanggan yang mahukan ia dibuka di Johor Bahru bagi memudahkan mereka terutama pelanggan dari Singapura,’’ katanya ketika ditemui sempena pembukaan AL FARO Mall di Johor Bahru semalam.
Pembukaan itu juga merupakan strategi AL FARO memperluaskan empayar syarikatnya yang dibina sejak tahun 2007 agar memberi akses mudah kepada pelanggan yang menyediakan barangan harga mampu milik.
“Kami amat gembira dengan pembukaan cawangan baharu ini kerana secara tidak langsung ia memberi peluang kepada kami untuk berinteraksi secara dekat dengan pelanggan di pelbagai lokasi.
“Seperti semua tahu, komitmen kami adalah dengan menyediakan produk berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan serta memberi pengalaman beli-belah yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, AL FARO terpilih sebagai pemenang Asia Pacific Enterprise Awards 2023 dalam kategori Fast Enterprise Award. Ia adalah kejayaan kedua AL FARO selepas meraih Anugerah Pensijilan Pengguna Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) pada tahun lalu.
Sementara itu, Farooq berkata, kebanyakan peniaga turut terpalit dengan situasi kenaikan kos sara hidup namun pelbagai strategi dilakukan untuk terus meningkat hasil jualan mereka.
Malah Farooq yakin dengan perluasan rangkaian outlet baharu di Shah Alam dan Johor Bahru akan menghasilkan pendapatan AL FARO melebihi RM30 juta pada tahun depan. – MalaysiaGazette