KUALA LUMPUR – Bintang Filipina, Kevin Ingreso mengucapkan selamat tinggal kepada Sri Pahang FC selepas tidak lagi bersama skuad Tok Gajah pada musim depan.
Perkembangan itu disahkan Ingreso menerusi satu hantaran Instagram miliknya.
“Saya harap kita dapat bertemu antara satu sama lain satu hari nanti! Ia satu tempoh yang bagus! Terima kasih Sri Pahang,” tulisnya.
Kontrak Ingreso dilaprokan tamat sejak 30 November lalu.
Ini menjadikan perlawanan Penang FC menentang Sri Pahang pada 26 November lalu sebagai perlawanan terakhirnya bersama pasukan gergasi Pantai Timur itu.
Ia sekali gus menyaksikan Ingreso tidak akan beraksi menjelang aksi Liga Super menentang Johor Darul Takzim FC (JDT FC) hari ini.
Difahamkan, Ingreso bakal berhijrah ke Thailand dan mewarnai saingan Thai League 1 pada tahun 2024.
Bersama Sri Pahang FC, Ingreso merekodkan 21 penampilan bersama dalam semua kejohanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. – MalaysiaGazette