Kapal layar, Dr G Cruise yang beroperasi di Pulau Langkawi.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali kapal layar, Dr G Cruise  menafikan syarikatnya menggunakan sijil halal tidak sah sambil menyifatkan ia sebagai cubaan menjatuhkan perniagaan orang Melayu di Pulau Langkawi.

Sebaliknya pemiliknya, Abdul Gafoor Abdul Mubarak menjelaskan, syarikat itu memilki sijil halal yang telah diperoleh bagi kafe yang beroperasi di kapal pelayaran miliknya pada Oktober lalu.

Malah tegasnya, mereka juga tidak menyediakan minuman beralkohol di atas kapal itu sejak beroperasi.

“Ramai pelanggan kami yang sangat menitikberatkan isu halal ini dan ramai yang datang dengan keluarga anak kecil dan kebiasaan mereka mencari kapal layar yang tidak menghidangkan alkohol.

“Namun hidangan yang disediakan di atas kapal layar kami diambil dari premis penyediaan makanan yang patuh syariah dan juga berbentuk Islamik di mana kami mengadakan bacaan doa sebelum memulakan pelayaran,” tulisnya di Facebook Dr G Cruise Langkawi.

Baru-baru ini tular di media sosial terdapat dakwaan kepada satu pengendali kapal layar atau di Langkawi yang dikecam kerana tidak mempunyai sijil halal di atas kapal layar mereka.

Ia dimuatkan oleh seorang individu dikenali Raymond Siew memuat naik hantaran mengatakan pemilik kapal itu telah menipu rakyat Islam dengan menggunakan sijil halal yang tidak sah.

Mengulas lanjut, Abdul Gafoor menegaskan, bagi mengutamakan keselesaan pengunjung, syarikat itu menawarkan pelayaran patuh syariah bagi memenuhi permintaan tetamu terutamanya mereka yang beragama Islam.

Malah jelas beliau, sijil halal yang diperoleh juga memberi impak positif kepada perniagaan sejak beroperasi apabila sebanyak 11,000 pelanggan telah menggunakan kapal layar Dr G Cruise.

“Kami mensasarkan kehadiran 2,000 pelanggan setiap pada tahun 2024 dengan menawarkan tiga pakej pelayaran iaitu Sunset Cruise, Day Cruise dan Santai.

“Pakej yang yang bermula serendah RM99 sehingga RM200 bertujuan bagi memberi peluang kepada pelancong yang datang ke Langkawai ingin merasai pengalaman meredah lautan di utara Selat Melaka dan di selatan Laut Andaman,” katanya lagi yang juga pakar bedah.  –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast