Hassan Karim

PASIR GUDANG – Dalam usaha membasmi isu pencemaran sungai dan laut yang berpunca daripada sisa atau bahan buangan industri, sebuah kilang khas atau pusat pelupusan sisa kimia, perlu dibina bagi mengelakkan masalah itu berpanjangan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, antara lokasi yang sesuai dibangunkan ialah d di Pasir Gudang atau Pengerang.

“Saya telah pun memaklumkan perkara ini secara peribadi kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada bulan lalu.

“Saya yakin dengan adanya pembinaan itu ia dapat menangani masalah pencemaran terutama mengelak tragedi Sungai Kim Kim daripada berulang.

“Insiden pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada 2019 ini menunjukkan betapa pentingnya pusat pelupusan seumpama itu.

“Saya bimbang jika ini tidak dipandang serius ia mungkin akan bertambah buruk dan sebab itu sepatutnya kita sudah ada pusat pelupusan di Pasir Gudang,” katanya ketika ditemui di Pasir Gudang, hari ini.

Beliau yakin dengan adanya pusat itu, masalah mengurus semua sisa buangan kimia terjadual dapat dilakukan dengan lebih teratur.

Selain itu, dengan adanya pusat itu juga mampu mengurangkan kos penghantaran bagi melupus sisa kimia Negeri Sembilan.

Pada 30 November lalu, seorang pemandu lori dilaporkan didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.

Media melaporkan, kerajaan negeri akan membuat rayuan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung hukuman pesalah agar ia setimpal dengan kesalahan dilakukan ekoran pencemaran sungai itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, rayuan untuk membolehkan hukuman denda selayaknya dikenakan terhadap pesalah pencemaran sisa kimia Sungai Kim-kim yang menyebabkan hampir 2,000 orang dengan 947 menerima rawatan di hospital.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast