Mohamad mengadakan lawatan kerja ke negara berkenaan pada hari ini dan esok, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan kepentingan penglibatan diplomatik dalam menangani cabaran kontemporari dan menegaskan semula usaha Malaysia untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau.

Penekanan itu dibuat Malaysia melalui perbincangan strategik Mohamad dengan rakan sejawatnya Menteri Pertahanan Negara Republik Sosialis Vietnam, Jeneral Phan Van Giang.

Mohamad mengadakan lawatan kerja ke negara berkenaan pada hari ini dan esok, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia.

Kedua-dua pihak membincangkan langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua menteri juga mengadakan Mesyuarat Dua Hala mengenai kerjasama pertahanan hari ini yang memberi tumpuan kepada peningkatan kerjasama ketenteraan, memupuk kerjasama dalam industri pertahanan dan mengadakan Dialog Strategik Pertahanan.

“Kedua-dua menteri terlibat dalam perbincangan yang produktif sambil menekankan kepentingan kestabilan serantau dan menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan keupayaan pertahanan. Mesyuarat Dua Hala ini turut membincangkan mengenai pelbagai aspek kerjasama ketenteraan termasuk latihan bersama, perkongsian perisikan dan kerjasama dalam teknologi pertahanan,” kata kenyataan yang sama.

Kedua-dua menteri membincangkan potensi kerjasama dalam industri pertahanan, memperakukan manfaat bersama yang boleh timbul daripada usahasama dan pemindahan teknologi.

Dalam pertemuan yang sama, Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertahanan turut diperbaharui di mana perjanjian MoU yang dimeterai sebelum ini telah tamat pada 2018.

Pembaharuan itu merupakan satu peristiwa penting dalam mengeratkan semula hubungan pertahanan antara Malaysia dan Vietnam.

Kedua-dua menteri menyatakan komitmen mereka untuk melaksanakan perundangan yang termaktub dalam MoU tersebut dan memastikan kejayaannya dalam memperkukuh hubungan pertahanan dua hala.

Dalam sesi lawatan kerja itu Mohamad telah membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinch.

“Semasa pertemuan ini, Menteri Pertahanan Malaysia dan Perdana Menteri Vietnam telah membincangkan mengenai kepentingan kedua-dua negara dan memberi tumpuan terhadap keselamatan maritim. Kedua-dua pihak telah menyatakan minat bersama dalam mengekalkan persekitaran maritim yang stabil dan selamat serta meneroka jalan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang kritikal ini,” kata kenyataan itu.

Mohamad juga menzahirkan rasa gembira kerana tahun ini genap 50 tahun penubuhan hubungan diplomatik antara kedua negara.

Vietnam adalah satu-satunya negara ASEAN di mana Malaysia telah meningkatkan kerjasama dua halanya kepada perkongsian strategik.

Perbincangan dua hala ini diharapkan dapat mengukuhkan jalinan persahabatan dan saling menghormati antara Malaysia dan Republik Sosialis Vietnam.

Kedua-dua juga menteri menyatakan keyakinan yang positif terhadap perbincangan ini dan dapat meningkatkan potensi dalam kerjasama pertahanan pada masa akan datang antara kedua-dua negara.- MalaysiaGazette