SUNGAI PETANI – Kebakaran gudang di Bukit Selambau di sini, malam tadi bukan membabitkan letupan bunga api sebaliknya premis tersebut menjalankan pemprosesan barangan kitar semula.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 7.55 malam dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah melakukan operasi mengawal dan memadamkan api.
Jelas beliau, juruteknik gudang yang merupakan warga China memaklumkan premis tersebut operasi sejak lima bulan lalu dengan memproses aloi kepada aluminium yang diambil dari barang-barang elektronik terpakai.
“Saksi mendakwa semasa dia berada di dalam kawasan gudang jam 7.50 malam, dia telah ternampak api besar, takut dengan situasi itu, dia bertindak melarikan diri ikut pintu belakang.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian tersebut dan pihak bomba masih lagi meneruskan operasi mengawal api daripada merebak.
“Setakat jam 8 pagi tadi, hanya 40 peratus pemadaman dilakukan kerana kerana masih terdapat timbunan barang-barang terbakar dan pihak bomba sedang menunggu escavator masuk untuk mengorek timbunan bahan-bahan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Zaidy, percikan api dan letupan berlaku dipercayai berpunca daripada bahan mudah terbakar di dalam premis dan bukan letupan bunga api.
“Kita sedang menunggu proses pemadaman sepenuhnya oleh pihak bomba serta punca kejadian daripada siasatan forensik Bomba,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, terdapat tiga gudang penyimpanan barang terpakai terdiri daripada logam tembaga, wayar dan bateri yang terbakar.
“Operasi pemadaman dibahagikan kepada empat sektor yang membabitkan empat gudang, bagaimanapun api tidak merebak ke sektor keempat,” katanya.
Terdahulu tular beberapa rakaman video mendakwa sebuah kilang bunga api terbakar di Bukit Selambau susulan percikan api kebakaran itu dilihat seolah-olah percikan bunga api. – MalaysiaGazette