KUALA LUMPUR – Sistem Identiti Digital Nasional (IDN) yang akan dilaksanakan kerajaan tahun depan sebenarnya masih mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Rata-rata mereka masih bimbang dengan sistem berkenaan kerana masih baharu selain pelbagai dakwaan negatif mengenainya di media sosial.
Penghantar makanan, Shazwan Bahar, 35, bimbang pelaksanaan sistem tersebut menyebabkan risiko pencerobohan maklumat peribadi oleh pihak ketiga selepas sistem IDN dipraktikkan.
Katanya, IDN dilihat membuka ruang penipuan secara dalam talian akan berleluasa.
“Saya dengar orang sekeliling cakap, ia tidak berapa wajar dilaksanakan sebab melibatkan pengenalan diri kita, maklumat peribadi kita, privasi kita.
“Zaman sekarang sudah makin maju, risau maklumat kita dicerobohi pihak ketiga,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sehubungan itu, Shazwan tidak bersetuju dengan pelaksanaan IDN dan mahu sistem identiti hanya kekal pada kad pengenalan sahaja.
“Saya tidak setuju, takut. Zaman sekarang macam-macam orang makin bijak, scammer khususnya kita risau perkara begitulah. Kad pengenalan biasa sudah cukup untuk apa juga transaksi yang ada pun macam-macam scammer muncul,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Suhaimi Abd Samad, 59, pula berkata, pelaksanaan dan motif IDN sehingga kini masih tidak jelas.
Tambah beliau, penggunaannya juga tidak diterangkan secara terperinci.
Ujar Suhaimi, keadaan itu mengundang tanda tanya kepada rakyat terutamanya berkenaan tujuan kerajaan untuk memperkenalkan sistem itu secara tersirat.
“Kalau masih baharu pelaksanaanya di Malaysia, kena bandingkan dengan negara yang sudah buat. Apa kesan tidak baik dan baik. Daripada apa kita baca ada input tidak baik pasal IDN ini kita tidak tahu apa tujuannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya kerajaan menyebarluaskan informasi tentang IDN untuk memberi kefahaman kepada rakyat pelbagai latar belakang.
“Kita pun tidak jelas rakyat tahu ia tidak ganti kad pengenalan fizikal. Kalau hanya digital tidak mengapa tapi kita tidak tahu apa di sebaliknya jadi kerajaan kena bagi tahu, jadi informasi awam, supaya tidak ada isu.
“Kalau masih ramai yang tidak jelas, tidak faham tujuannya kalau bagi saya saya tidak mahu, biarkan orang lain buat dulu,” katanya.
Sementara itu, Hoh Si Tchuen, 54, pula menyambut baik pelaksanaan IDN yang disifatkannya seiring dengan usaha kerajaan untuk memperluaskan sistem pendigitalan dalam negara.
Namun, katanya, pelbagai perkara perlu diambilkira sebelum IDN dilaksanakan termasuk aspek keselamatan dan jaminan sistem dalam talian yang melibatkannya tidak akan tergendala.
“Saya fikir kalau ia tidak menggantikan kad pengenalan fizikal ia idea yang baik. Sebab semua sekarang adalah digital, banyak negara pun sudah lakukannya iaitu ke arah pendigitalan.
“Selagi kita ada kada pengenalan fizikal ia tidak ada masalah sebab apa juga boleh berlaku, tidak tahu akan ada masalah sistem pendigitalan. Jadi IDN itu perlu juga ada salinan fizikalnya untuk persediaan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan aspek keselamatan IDN betul-betul terjamin sebab ia melibatkan maklumat peribadi,” katanya.
Mengulas lanjut, Si Tchuen berkata, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan sistem IDN selagi tidak terbukti dan dapat dijamin keselamatan dan keberkesanannya.
“Saya cadangkan kerajaan ambil masa betul-betul untuk kaji sebelum melaksanakannya,” tambahnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 November lalu berkata, kerajaan menyalurkan RM80 juta untuk menyegerakan pelaksanaan IDN pada tahun depan.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil semalam menegaskan, pelaksanaan IDN di Malaysia disifatkan sebagai jauh berbeza dengan negara-negara lain seperti Kanada dan India kerana keselamatan data pengguna adalah terjamin.
Menurut beliau, IDN yang dibangunkan di bawah Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS Bhd) tidak akan merakam cap jari atau iris pengguna.
Jelas beliau lagi, pelaksanaan IDN masih di peringkat permulaan, dengan jangkaan pada Mac tahun depan proses pendaftaran akan lebih rancak.
Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) dilaporkan berkata, kerajaan perlu memberi jaminan kepada rakyat pelaksanaan sistem itu adalah selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini pada masa depan.
INFO IDN
• ID Digital Nasional (IDN) adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital berasaskan pendekatan ‘What You Are’, ‘What You Have’ dan ‘What You Know’.
• Ia mempunyai ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik yang membolehkan rakyat mempunyai pengenalan diri digital yang unik.
• IDN adalah satu platform yang selamat, terjamin dan terlindung untuk pengesahan identiti individu apabila melakukan transaksi digital.
5. IDN akan terpakai untuk kegunaan semua warganegara Malaysia dan pemastautin tetap bagi membolehkan mereka berurusan dengan sektor kerajaan mahupun swasta.
6. Namun IDN ini tidak akan menggantikan MyKad tetapi menjadi satu ciri tambahan pengesahan identiti secara atas talian dan jarak jauh.
7. Cakap-cakap mengenai IDN akan membocorkan data peribadi, cip akan diimplan dalam tubuh dan individu akan mudah diawasi oleh kerajaan adalah satu dakwaan yang sebenarnya tidak berasas. – MalaysiaGazette
VIDEO BERKAITAN:
MGNews: PM Umum Peruntukan RM80 Juta Kepada MIM Untuk Percepat Projek IDN