BAYAN LEPAS – Lelaki warga emas berusia 90 tahun antara 23 individu ditahan leka bermain judi dadu jenis Tai Sai dalam khemah kanvas yang didirikan di kawasan lapang di Jalan Sungai Ara di sini, semalam.
Serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya jam 7 malam itu turut membawa kepada rampasan wang berjumlah RM26,112.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua 23 suspek yang ditahan berusia antara 33 hingga 90 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati lokasi itu dijadikan tempat taruhan judi Tai Sai sejak empat hari lalu sebelum diserbu pihak berkuasa.
“Antara barangan yang dirampas ialah piring dan mangkuk tembikar, dadu, 143 kepingan cip, kalkulator, alat penggera masa, kapur tulis pelbagai warna dan lain-lain peralatan yang digunakan bagi kegiatan judi.
“Turut dirampas adalah wang tunai sebanyak RM26,112,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – MalaysiaGazette