Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Fitch Ratings (Fitch) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia
pada BBB+ dengan tinjauan “Stabil”, kata Kementerian Kewangan.

Penarafan ini mencerminkan komitmen kerajaan kepada reformasi fiskal dan keupayaan negara untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi serta daya tahan negara dalam menghadapi keadaan global yang lemah dan tidak menentu.

Menurut Fitch, “Penarafan Malaysia diimbangi oleh keadaan ekonomi yang pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh berbanding hutang awam yang tinggi, asas hasil yang rendah relatif dengan perbelanjaan mengurus, dan keadaan politik yang mungkin menjejaskan pelaksanaan dasar dan reformasi jangka panjang.

Agensi penarafan kredit itu menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar menyederhana kepada 4.0% pada 2023 dan 4.2% pada 2024 ketika kestabilan politik negara yang bertambah baik.

Fitch menganggarkan permintaan global yang lemah dan sekatan perdagangan akan menjejaskan aktiviti eksport negara.

Namun begitu, Fitch juga menyatakan permintaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan dalam pendapatan dan aktiviti pelaburan.

Fitch menyatakan kedudukan akaun semasa negara terus mencatat lebihan selama lebih dua dekad dan menjangkakan akaun semasa akan kekal dengan lebihan dalam jangka sederhana, walaupun menghadapi cabaran luar.

Fitch menganggarkan akaun semasa akan mengecil kepada 2.6% pada 2023 (2022: 3%), namun Malaysia berada pada kedudukan yang baik serta berupaya untuk meraih manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan global disebabkan oleh sektor pembuatan yang kompetitif dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang ketara sejak pembukaan semula ekonomi pada tahun 2022.

Malah, Fitch menjangkakan bahawa defisit Kerajaan Persekutuan akan menurun kepada 3.5% pada 2025 disebabkan oleh rasionalisasi subsidi dan pelancaran Cukai Minimum Global.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan komited untuk meneruskan konsolidasi fiskal dan membina semula ruang fiskal untuk kemampanan jangka panjang.

Dalam jangka sederhana, kerajaan yakin dapat mengurangkan defisit fiskal daripada 5.6% pada tahun 2022 kepada anggaran 5.0% pada tahun 2023 dan seterusnya kepada 4.3% pada tahun 2024.

Belanjawan 2024 mengekalkan pendirian dasar fiskal yang mengembang dengan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan berjumlah RM90 bilion bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi serta memenuhi keperluan rakyat.

Di bawah kerangka Ekonomi Madani, langkah konsolidasi fiskal akan dipercepat bagi mencapai sasaran defisit 3% dan pembaharuan fiskal terus menjadi keutamaan kerajaan.

Ini dizahirkan dalam Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) baru-baru ini yang diluluskan oleh Parlimen bulan lepas.

FRA akan menginstitusikan akauntabiliti dan ketelusan dalam kewangan awam untuk kemampanan fiskal jangka panjang dan kestabilan makroekonomi.

Melangkah ke hadapan, kerajaan yakin inisiatif yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani dan pelaksanaan langkah-langkah di bawah pelbagai rancangan negara iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 akan terus merangsang pertumbuhan. – MalaysiaGazette