GEORGE TOWN – Pengurusan Hospital Balik Pulau (HBP) sedang mengesan waris atau ahli keluarga kepada seorang lelaki warga emas yang sudah meninggal di wad hospital berkenaan dua minggu lalu.
HBP dalam satu kenyataan berkata, lelaki bernama Subramaniam Krishnan, 69, dengan alamat terakhir di rumah bernombor 208, Pengkalan Weld itu disahkan meninggal dunia akibat penyakit kanser hati pada jam 11.29 pagi, 20 November lalu.
“Pihak hospital telah cuba mengesan keluarga warga emas berkenaan termasuk pergi ke alamat kediaman terakhir namun gagal menemui mereka.
“Mayat warga emas itu ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik HBP berikutan tiada waris tampil menuntut,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil atau menghubungi Ketua Unit Pengurusan HBP, Mohd Shukeri Md Zain di talian 04 866 9333 menerusi sambungan 115 bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette