Askar Israel yang maut di Gaza

TEL AVIV – Israel didakwa merancang untuk membanjiri sistem terowong Hamas dengan air yang dipam dari Laut Mediterranean.

Memetik pegawai Amerika Syarikat, laporan itu mengatakan, IDF bulan lalu telah memasang lima pam air besar berhampiran kem pelarian al-Shati di Gaza City.

Menurutnya, pam-pam berkenaan mampu membanjiri rangkaian bawah tanah dalam masa beberapa minggu dengan mengepam beribu-ribu meter padu air sejam ke dalam terowong.

Wall Street Journal memetik para pegawai berkata, Israel memaklumkan AS mengenai rancangan itu bulan lalu, tetapi belum memutuskan sama ada untuk melaksanakannya.

Menurut laporan itu, pendapat dalam pentadbiran Biden bercampur-campur dengan beberapa pegawai menyatakan kebimbangan mengenai rancangan Israel.

Kebimbangan yang disebut dalam laporan itu antara lain adalah potensi kerosakan pada akuifer dan tanah Gaza, jika air laut dan bahan berbahaya dalam terowong meresap ke permukaan.

“Adalah mustahil untuk mengetahui sama ada ia akan berkesan kerana kita tidak tahu bagaimana air laut akan mengalir dalam terowong yang belum pernah dilalui oleh sesiapa sebelum ini,” katanya.

Manakala yang lain mengatakan mereka menyokong usaha Israel untuk memusnahkan terowong dan mengatakan tidak semestinya ada bangkangan dari Amerika.

Dalam pada itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF)  berkata, seorang pegawai dan dua askar briged kereta kebal maut dalam pertempuran dengan pasukan Hamas.

Jumlah itu menjadikan 78 tentera zionis maut dalam pertempuran darat di Gaza sejak serangan bermula pada akhir Oktober.

The Times of Israel melaporkan empat lagi askar cedera parah ketika bertempur di utara Gaza.- Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast