konsensus nasional mohd zuhdi marzuki
Mohd Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Kepimpinan ulama dalam Pas tidak akan berakhir seperti yang diimpikan oleh DAP dan peranan mereka kekal relevan bagi memastikan naratif yang dibawa bersifat ideologi.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, semasa krisis dalaman parti itu mulai 2008 sehingga 2015, terdapat golongan yang cuba menghumban kepimpinan ulama.

Menurut beliau, mereka membuat desakan demi desakan dengan menonjolkan figura-figura teknokrat atau profesional untuk menerajui parti dengan alasan bahawa rakan-rakan komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) lebih selesa dengan golongan teknokrat atau profesional.

Mohd Zuhdi menambah, golongan ulama dikatakan sebagai jumud dan sempit, sama seperti yang dibangkitkan oleh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.

“Bagaimanapun, ahli-ahli Pas tidak termakan dengan naratif momokan golongan yang mesra DAP ini.

“Hasrat mereka untuk menghakis kepimpinan ulama, akhirnya mereka pula yang dihumban dalam Muktamar Pas 2015,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang dalam kenyataan kelmarin membangkitkan persoalan sama ada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersedia untuk meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerajui parti tersebut.

Mohd Zuhdi berkata, ketika ini, golongan teknokrat dan profesional terus subur berperanan di bawah naungan kepimpinan ulama dalam Pas.

Beliau memberitahu, tiga menteri besar dari empat negeri yang diketuai Pas termasuk Ahmad Samsuri sendiri adalah dari golongan teknokrat dan profesional.

“Pas terus kukuh dengan para ulama sebagai ideolog yang membingkai parti, sementara teknokrat dan profesional membumikannya,” jelasnya. – MalaysiaGazette