Saifuddin bertanyakan sesuatu kepada pegawai imigresen ketika melakukan tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang di sini, hari ini.

SEPANG – Para-pelancong warga asing yang masuk ke negara ini diberi kelonggaran untuk mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) (MDAC) sehingga 31 Disember ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun mereka sepatutnya mengisi MDAC tersebut dua atau tiga hari sebelum tiba ke Malaysia namun, kelonggaran itu diberikan ekoran ia masih baharu dilaksanakan di sini.

Bagaimanapun katanya, mengisi MDAC menjadi satu kemestian yang perlu dibuat kepada semua pelancong selepas 1 Januari.

“Sebab maklumat dalam digital arrival kad (kad ketibaan digital) ini memberi kita maklumat penting seumpama keberadaan mereka (pelancong). Mereka berada di mana, alamatnya di mana dan sebagainya.

“Ini adalah langkah penting untuk kita mengetahui tentang keberadaan sepanjang mereka berada di sini, tapi pada masa yang sama penting untuk kita juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan bagi melihat proses Pelan Liberalisasi Visa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Hadir sama pada sesi tinjauan itu Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh.

Menurut Saifuddin lagi, penggunaan sistem baharu MDAC bertujuan untuk melonjakkan sektor pelancongan supaya tidak dirumitkan melalui proses visa.

Namun katanya, perkara itu sudah lama diamalkan di kebanyakan negara termasuk Singapura.

Terdahulu, Saifuddin meninjau pembukaan 14 kaunter tambahan baharu imigresen bagi pemeriksaan pasport.

Dengan penambahan itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan kaunter pemeriksaan imigresen menjadi 60 buah dan beroperasi 24 jam.

Tambah beliau, penggunaan MDAC adalah selaras dengan pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa, yang menjadi permulaan kepada program Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Pelan Liberalisasi Visa tujuannya untuk meningkatkan sektor pelancongan di mana pelancong tidak akan merumitkan melalui proses visa.

“Pelaksanaan MDAC bagaimanapun menjadi elemen kawalan apabila kami memperkenalkan kad ketibaan digital untuk kami mengetahui pergerakan mereka,” ujarnya.

MDAC merupakan sebahagian daripada lima inisiatif utama untuk menambah baik perkhidmatan Jabatan Imigresen selaras dengan pelaksanaan pelan liberalisasi visa yang mengecualikan visa 30 hari untuk pelancong dari China dan India.

Jabatan Imigresen berkata, peraturan baharu itu yang berkuat kuasa Jumaat lalu, bagaimanapun dikecualikan bagi mereka yang transit melalui Singapura, individu berstatus Penduduk Tetap (PR) dan pemegang kad Sistem Penjelasan Automatik Malaysia (MACS).

Pengecualian visa selama 30 hari untuk pelancong dari China dan India meliputi tempoh dari 1 Dis 2023 hingga 31 Dis 2024, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lepas.

Pada masa ini, negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran, serta semua negara Asia Barat, termasuk Turki dan Jordan, menikmati kemudahan pengecualian visa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast