PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelarasan gaji golongan profesional teknikal dalam perkhidmatan awam akan diberi keutamaan dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Perdana Menteri berkata, harapan kepada golongan profesion teknikal itu dibuktikan dengan kehadirannya pada sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN2023) hari ini.
Sambutan HPTN2023 bagi mengiktiraf peranan golongan profesion teknikal yang sesuai dengan keadaan dan pertumbuhan ekonomi negara sekarang.
“Kedudukan golongan ini dengan sendiri terangkat dan sangat kritikal. Sesuai dengan pengiktirafan itu saya telah beri komitmen iaitu dalam pelarasan gaji peranan profesion teknikal itu harus diberikan tempat sewajarnya,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta badan profesional dalam profesion itu supaya mengemukakan input munasabah dalam soal pelarasan gaji menerusi SSPA.
HPTN telah diluluskan Jemaah Menteri pada Oktober 2018 untuk diadakan secara tahunan pada Sabtu pertama Disember sebagai penghargaan dan pengiktirafan jasa disumbangkan profesion teknikal dalam landskap pembangunan negara. – MalaysiaGazette