Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto ABDULLAH YUSOF, 5 DISEMBER 2023.

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sedang bekerjasama dengan Persekutuan dalam meneliti kaedah terbaik bagi mengelakkan daripada berlakunya kecurian terhadap bahan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, justeru kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengadakan bengkel dalam mewujudkan inisiatif daripada sudut perundangan terhadap tindakan yang tidak bermoral itu.

Katanya, tindakan kecurian terhadap NR-REE dibimbangi berlaku kerana bahan mineral itu mudah diekstrak berbanding perlombongan bahan-bahan mineral lain.

“Kita sedang memantau kerana tidak mahu apa yang berlaku (kes kecurian nadir bumi) di negeri lain sebelum-sebelum ini tidak berlaku di Perak.

“Kita bimbang sekiranya tidak terkawal dan dipantau, nanti akan ada pihak yang menebang pokok sawit atau getah, dan mengusahakan pengekstrak NR-REE secara haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Fakhrudin Abd Aziz (PN-Kamunting) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Selain itu, Saarani (BN-Kota Tampan) berkata, kaedah sesuai perlu diadakan bagi mengelakkan perkara itu berlaku yang akhirnya akan merugikan negeri dan negara.

Tambahnya, keputusan Kerajaan Persekutuan yang tidak membenarkan NR-REE itu dieksport sebelum diproses terlebih dahulu dilihat mampu mengekang tindakan pengumpulan bahan mineral itu secara haram.

“Namun, ada kemungkinan akan ada pihak yang tidak mengisytiharkannya sebagai NR-REE sebaliknya mengisytiharkannya sebagai mineral lain ketika di pelabuhan.

“Justeru itu, kita sedang memantau dan melakukan langkah-langkah perlu bagi mengelakkan ia berlaku kelak,” jelasnya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Datuk Shahrul Zaman Yahaya (BN-Rungkup), Saarani berkata kerajaan negeri mengenakan royalti kepada penggerak projek rintis perlombongan NR-REE di Gerik sebanyak 12 peratus.

Ujarnya, pihak berkenaan telah menjelaskan bayaran royalti sebanyak hampir RM21.12 juta melalui pengeksportan ‘Rare Earth Carbonate’ (REC) ke Negara China, setakat September lalu.

Selain itu, tambah Saarani, Majlis Daerah Gerik turut mengutip hasil melalui fi-fi yang berkaitan dengan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) yang dikeluarkan bagi aktiviti perlombongan NR-REE tersebut. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak terima royalti RM21.1 juta hasil projek NR-REE