Gambar hiasan

KUALA LUMPUR  – Salah seorang daripada lapan suspek yang ditahan polis dan direman bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita warga emas berusia 70 tahun dalam kereta Honda City di Taman Ehsan, Kepong pada 23 November lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, suspek itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang pukul 9 pagi.

“Sebelum ini polis telah menahan reman kesemua lapan suspek berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun itu selama 10 hari bermula 27 November sehingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan yang dilengkapkan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor baru-baru ini dan telah mendapat arahan menuduh salah seorang suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Mahkamah Majistret pada pagi esok,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan lelaki disyaki bunuh wanita warga emas ditangkap

Sementara itu, tambah Noor Ariffin, empat lagi suspek lain akan saksi pendakwaan dalam kes yang sama tiga lagi suspek lain akan dibebaskan oleh polis.

Mengulas lanjut, siasatan lanjut ke atas suspek sepanjang tempoh reman mendedahkan motif kejadian adalah suspek tidak puas hati mengenai kadar sewa rumah melibatkan mangsa.

Pada 28 November lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan lapan suspek telah ditangkap dalam kes penemuan seorang wanita warga emas dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dengan kesan tikaman dalam kereta Honda City di Taman Ehsan Kepong pada 23 November lalu.

Katanya, kesemua suspek ditangkap dalam beberapa siri serbuan yang dilaksanakan pasukan polis di Gombak pada 27 November lalu sekitar pukul 12.30 tengah malam.

“Siasatan lanjut polis kemudian membawa kepada penemuan pisau di kawasan Desa Aman Puri semalam yang disyaki digunakan suspek untuk menikam mangsa wanita warga emas itu,” katanya.

Sebelum itu, pada 23 November lalu, polis menerima panggilan orang awam yang menemui mayat warga emas itu dalam kereta di kawasan kejadian.

Siasatan lanjut polis ke lokasi kejadian kemudian membawa kepada penemuan mayat wanita warga emas berusia 70 tahun berpakaian lengkap berbaju kemeja dan berseluar pendek di bahagian belakang tempat duduk penumpang dengan ditutup kain selimut.

Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa menemui kesan kelar pada leher dan tikaman di perutnya.- MalaysiaGazette