Rosli (kiri) bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUANTAN – Ketua Pembangkang Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kecewa kepada pimpinan kerajaan negeri yang didakwa tidak mengagihkan peruntukan sama rata kepada wakil rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu berkata,  perkara tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah telah  bertitah agar kerajaan negeri memberikan peruntukan adil kepada wakil rakyat pembangkang pada Mei lalu.

Lebih menghairankan, katanya, apabila negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Perak boleh melaksanakan pemberian peruntukan kepada pembangkang secara sama rata tetapi ia tidak berlaku di negeri itu.

“Kalau kerajaan Kedah boleh bagi, Kelantan boleh bagi, Perlis bagi, Perak boleh bagi, negeri lain bagi termasuk Selangor, saya fikir Pahang agak peliklah seolah-olah (kerajaan negeri) tak iktiraf sistem demokrasi yang rakyat pilih.

“Dia (Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rsody Wan Ismail) bagilah sikit baru ini tapi dia bagi bukan sebagaimana dihasratkan oleh Tuanku. Cadangan Tuanku supaya peruntukan kepada ADUN pembangkang diberi sama rata sebagaimana ADUN kerajaan.

”Pahang bagi dekat Ramadan RM5,000 dan baru ini RM30,000 untuk projek di kawasan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, pihaknya menegaskan peruntukan tersebut bukan bagi kegunaan ahli politik sebaliknya untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Malah Timbalan Presiden Pas itu berkata, isu peruntukan kepada ADUN pembangkang tidak dinyatakan dengan jelas semasa pembentangan Belanjawan Pahang 2024 oleh Menteri Besar baru-baru ini.

“Kalau dia (kerajaan Pahang) rasa bertanggungjawab, dia bagi. Kalau dia tak bagi, kita akan jalan seperti biasa. Pahang ada surplus belanjawan sebanyak RM12 juta, sepatutnya tidak ada masalah untuk menyalurkan bantuan lebih besar kepada pembangkang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast