Program Lancet Countdown 2023.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini menganjurkan Lancet Countdown 2023 yang berlangsung di Hospital Al-Sultan Abdullah, Puncak Alam.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, universiti tersebut komited meneruskan penganjuran program itu dan ia merupakan kali ketiga berturut-turut UMT menjadi hos penganjuran serta sebagai rakan kongsi global.

Menurut beliau, Lancet Countdown merupakan program kerjasama penyelidikan antarabangsa yang memantau secara bebas kesan perubahan iklim terhadap kesihatan manusia oleh 114 saintis dan pengamal kesihatan dari 52 institusi penyelidikan, serta agensi PBB di seluruh dunia.

“Pihak UMT meletakkan komitmen yang tinggi dalam usaha mencari solusi terbaik bagi menangani isu perubahan iklim global.

“Kami berbangga dengan penglibatan pemimpin negara, Timbalan Perdana Menteri  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkukuhkan lagi usaha serta komitmen kami dalam menangani isu perubahan iklim yang kian meruncing, menjejaskan keselamatan makanan dan kesihatan global,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, penyelidik dunia mendedahkan terdapat peningkatan suhu global tertinggi dalam sejarah bagi tempoh lebih 100,000 tahun dan penemuan itu merupakan rekod haba yang paling ketara mengatasi semua benua.

Pendedahan itu dikongsikan oleh sekumpulan penyelidik antarabangsa dalam penganjuran The 2023 report of the Lancet Countdown on health and climate change: the imperative for a health-centred response in a world facing irreversible harms.

Katanya, menurut laporan itu, orang dewasa yang berumur lebih daripada 65 tahun dan bayi yang berusia bawah satu tahun antara golongan yang berisiko tinggi yang mana pendedahan haba melampau boleh memudaratkan kesihatan dan mengancam nyawa.

“Laporan itu menjelaskan, perubahan iklim boleh merosakkan sistem semula jadi dan kelestarian sumber. Kemerosotan itu juga secara tidak langsung memberi kesan terhadap tahap kesihatan manusia sejagat.

“Peningkatan suhu menyebabkan tahap kesuburan tanah menurun yang akhirnya memberi kesan terhadap tumbuhan serta tanaman yang menjadi sumber makanan utama manusia.

“Situasi membimbangkan itu turut menjejaskan sumber air bersih, sanitasi dan pengeluaran makanan. Kekerapan gelombang haba dan kemarau yang lebih tinggi kebelakangan ini memberi tekanan terhadap permintaan bekalan makanan dunia,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, laporan menjelaskan situasi tersebut turut meyebabkan penduduk dunia berdepan dengan risiko kekurangan zat makanan dan memberi kesan langsung terhadap kesihatan awam.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih buruk jika fenomena iklim tidak menentu seperti itu berlarutan, ia berkemungkinan menyebabkan lebih ramai penduduk menghadapi risiko penyakit berjangkit seperti denggi, malaria, vibriosis dan virus West Nile yang boleh mengancam nyawa. – MalaysiaGazette