Mohamad Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sedang berlangsung, status terbaharu ahlinya, Datuk Puad Zarkashi di laman Facebook mencetuskan kontroversi.

Puad melemparkan kenyataan bahawa individu yang melanggar apa-apa ketetapan parti akan terima akibatnya.

“Dia bukan hero yang boleh dibanggakan. Bila parti buat keputusan maka ikut keputusan jamaah. Barulah parti solid. Kita tunggu saja…,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dibuat Puad tatkala beberapa kenyataan yang dikeluarkan ahli MKT, Isham Jalil berhubung kerjasama DAP dan Barisan Nasional.

Terbaharu, Isham menggesa Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan dan beliau juga akan melepaskan jawatannya.

Isham mengingatkan Ahmad Zahid untuk tidak terus menjaga kepentingan diri sehingga seluruh parti hancur lebur.

“Saya harap Datuk Seri Presiden sedar dan menerima hakikat dan tidak berada dalam sindrom penafian bahawa lebih ramai orang-orang Melayu kini menolak UMNO oleh kerana keputusan Presiden untuk pergi pilihan raya bersama DAP selepas PRU-15.

“Jika keadaan ini berterusan, UMNO akan hancur dalam beberapa tahun lagi oleh kerana keputusan ini. UMNO ini adalah parti keramat yang memperjuangkan orang-orang Melayu di Malaysia selama ini. Usahlah kerana kepentingan diri seluruh parti hancur lebur dibuatnya.

“Jika Datuk Seri letak jawatan, saya pun akan letak jawatan. Kita sama-sama berkorban asalkan parti keramat ini dapat diselamatkan selagi ada masa,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Ahmad Zahid menggesanya untuk hadir mesyuarat parti itu di Bangunan UMNO, malam ini.

Ahmad Zahid berkata, ia selepas tiga kali Isham tidak muncul pada mesyuarat MKT sebelum ini.

Difahamkan mesyuarat malam ini antara lain membincangkan prestasi parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember lepas.

Selain itu, isu melibatkan Isham juga dijangka menjadi antara topik perbincangan dalam mesyuarat tersebut.

Beberapa pemimpin UMNO tiba di lobi Menara Dato’ Onn sejak jam 8.30 malam tadi.

Antaranya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil . – MalaysiaGazette