KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) akan mengadakan Program Hari Tanpa Kenderaan edisi ke-16 pada 10 Disember, Ahad ini, bertempat di Jalan Kemajuan Subang (hadapan Aeon Big dan Subang Parade, Subang Jaya)

Ia bermula pada jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Pelbagai aktiviti riadah dan sukan disediakan bagi seisi keluarga seperti senamrobik, pertandingan ‘Street Soccer’, aktiviti memanah, ‘Repelling, Abseling dan Flying Fox’, bazar sarapan pagi, pasar karloot, pemeriksaan kesihatan dan mata percuma, persembahan buskers MBSJ, demonstrasi memasak oleh Chef Sakya serta cabutan bertuah istimewa buat semua para pengunjung.

Program itu akan dimeriahkan lagi dengan Kayuhan Santai (Subang Jaya Urban 35KM Ride) dan ‘The Final Selangor Criterium Series 2023’.

Turut menjadi tarikan adalah demonstrasi istimewa Tarian Perang oleh Platun Tiger, Polis Diraja Malaysia.

Semua warga Subang Jaya mahupun kawasan sekitar dijemput hadir bagi menyertai dan memeriahkan program ini.

Susulan penganjuran program ini, satu pelan pengurusan lalu lintas di SS16 melibatkan Jalan Kemajuan Subang, Persiaran Kemajuaan SS16, Persiaran Jengka dan Jalan SS16/2 akan dilaksanakan pada jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari.

Pelan pengurusan lalulintas di SS16.

Jalan SS16/1 akan ditutup sebahagiannya, terutama di sekitar Subang Parade, Aeon Big, dan Mesiniaga.

Namun, ia masih boleh dilalui oleh kenderaan, yang bermakna laluan tersebut akan dikongsi antara penganjuran acara dan kenderaan orang awam.

Pengguna lalu lintas dan penduduk di kawasan sekitar dinasihati untuk mematuhi pelan pengurusan, sekali gus merancang perjalanan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang program ini berlangsung. – MalaysiaGazette