GEORGE TOWN – Polis Daerah Timur Laut berjaya menyelesaikan kes pembunuhan kejam penjual nasi ekonomi di Jelutong di sini, dalam tempoh sejam selepas menahan tiga individu termasuk seorang wanita.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, tangkapan ke atas dua lelaki dan seorang wanita itu dilakukan sekitar Jelutong pada jam 7.30 malam semalam.
“Ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan dan siasatan mendapati kesemua mereka adalah kawan rapat mangsa.
“Kesemua suspek berusia lingkungan 29 hingga 42 tahun itu direman selama tiga hari sehingga 8 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesekaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Saravanan, siasatan berhubung kes ini masih dilakukan termasuk mengenal pasti motif pembunuhan.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang lelaki yang juga penjual nasi ekonomi di Pasar Awam Jalan Perak maut selepas ditikam sebanyak 27 kali di dada, leher dan abdomen di kawasan parkir perumahan berkenaan.
Kejadian berlaku jam 6.18 petang dan mangsa Teh Teik Chye, 60, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP). – MalaysiaGazette