PUTRAJAYA – Pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) membabitkan murid Tahun Satu di sekolah rendah boleh diuruskan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan program tersebut akan diuruskan secara berasingan mengikut kes.
Menurutnya, kementerian akan melihatnya berdasarkan isu sekolah dan halangan yang mana ia akan diselesaikan di peringkat garis panduan.
“Sebagai contoh akan diambil kira di peringkat JPN dan sekolah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027, di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan, Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan pelaksanaan sepenuhnya Program Dwibahasa (DLP) di lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Bukit Nanas (1), SK Bukit Damansara, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda, SJKT Segambut dan SJKT Ladang Edinburgh.
Pelaksanaan penuh DLP hanya membabitkan pelajar Tahun Satu bagi penggal 2023/2024 di sekolah berkenaan.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan turut mengarahkan sekolah supaya memaklumkan keputusan itu kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa atau penjaga murid.
Pada penambahbaikan Garis Panduan Pelaksanaan DLP 2021 menyatakan, program itu bertujuan memberi penjelasan tentang tatacara pelaksanaan DLP di sekolah bantuan kerajaan dan sekolah yang berdaftar dibawah KPM.
Ia merupakan pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik ditetapkan KPM.
Program tersebut dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Ia bertujuan memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan akses bagi penerokaan pelbagai bidang ilmu untuk bersaing di peringkat global dan meningkatkan kebolehpasaran murid dalam alam pekerjaan. – MalaysiaGazette