Tangkap layar daripada klip video tular penemuan harimau belang di Maran hari ini.

KUANTAN – Perhilitan Pahang mengesahkan menerima dua aduan penemuan seekor harimau belang di Kampung Serengkam dan Kampung Senggora, Maran semalam.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin berkata, aduan pertama diterima daripada sekumpulan nelayan darat yang bertembung dengan haiwan itu sedang minum air di tebing Sungai Pahang berhampiran Batu Sawau di Kampung Serengkam.

“Sejurus menerima aduan, seramai empat kakitangan Perhilitan Daerah Maran ke kawasan kejadian yang terletak berhampiran dengan kawasan hutan simpan,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, beliau mengesahkan kesan tapak yang sama saiz ditemui di Kampung Belembung, Senggora di Maran pada hari sama, yang mana jarak antara dua lokasi terbabit adalah kira-kira lima kilometer radius.

“Setakat pemantauan terkini petang ini, harimau tersebut telah bergerak ke hutan simpan yang berdekatan dengan habitat asalnya,” katanya.

Rozidan berkata, Perhilitan Maran telah mengeluarkan peringatan kepada Ketua Kampung dan komuniti sekitar agar sentiasa menjaga keselamatan dan melaporkan segera jika terdapat serangan terhadap ternakan dan manusia.

Terdahulu, tular di laman Facebook dua klip video pendek memaparkan sekumpulan individu terjumpa bangkai lembu yang dipercayai dibaham haiwan tersebut dan kelibat harimau itu sedang berehat. – MalaysiaGazette