Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 06 DISEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pas sebagai gila talak selepas pemimpin parti itu mengeluarkan kenyataan tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan semula kerjasama politik dengan UMNO.

Presiden UMNO itu menegaskan, UMNO telah nekad untuk tidak akan kembali berkerjasama dengan parti berkenaan. 

“Mungkin ada pihak yang telah kegilaan talak kerana mereka pernah berada dalam kerajaan dahulu, alangkah sakitnya apabila mereka mempunyai kerusi yang banyak tetapi mereka terus jadi pembangkang.

“Kita harap mereka terus berdoa, untuk tidak melakukan ‘kekencingan’ sekali lagi kepada UMNO yang menyebabkan UMNO tidak langsung  mahu membuka jalan.

“Setakat ini Allah belum buka lagi hati kami menjalin semula kerjasama politik dengan mereka. Kami harap mimpi siang mereka itu dapat dinoktahkah,” katanya ketika sidang media di Bangunan Perdana Putra.

Dalam kenyataan terbaharu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menolak Pas akan kembali bekerjasama dengan UMNO menerusi platform Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kenyataannya itu sebagai respon daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar boleh menjadi Perdana Menteri jika PN berjaya memujuk UMNO bermuafakat semula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) .

UMNO dan Pas pernah menjalinkan kerajasama selepas PRU-14 yanh lalu menerusi Muafakat Nasional (MN).

Namun hubungan berkenaan tegang apabila Pas menyertai PN yang diterajui Bersatu.-MalaysiaGazette