Mohamad Shahril menunjukkan paras air yang dinaiki rumah mereka di Kampung Mohd Amin dalam kejadian semalam.

JOHOR BAHRU – Kejadian banjir buruk yang melanda bandar raya ini semalam antara yang terburuk pernah dialami penduduk  Kampung Mohd Amin sejak sejak mereka mendiami kawasan tersebut.

Pekerja kilang, Mohd Shahril Jamian, 41, berkata, akibat banjir itu beliau kini terpaksa hidup sehelai sepinggang memandangkan air naik tinggi dengan cepat.

Mohamad Shahril

“Semalam saya pergi ke pasar raya beli barang keperluan dapur dan balik-balik tengok air sudah masuk rumah paras kepala. Kalau sebelum ini paras pinggang sahaja.

“Saya memang agak air mesti masuk rumah tapi sebab jalan banyak tutup sana sini memang tidak sempat sampai ke rumah selamatkan barang.

“Barang satu apa semua tak dapat diselamatkan. Nasib rumah tiada orang. Kalau ada anak boleh lemas saya rasa.anak
Ini kali pertama paling teruk dan sebelum ini kalau banjir kilat paras lutut.Semalam kejadian betul-betul mengejutkan,” katanya.

Mohamad Shahril menunjukkan paras air yang dinaiki rumah mereka di Kampung Mohd Amin dalam kejadian semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Rahmat Ibrahim, 58, berkata, kejadian itu merupakan kali ke-10 berlaku pada tahun ini.

Rahmat Ibrahim

“Hujan turun sekitar 12.30 tengahari dan hujan memang selebat-lebat tidak. Memang tidak sempat nak selamatkan apa-apa dan saya hanya dapat alihkan dua buah kereta dan lagi sebuah tak sempat alihkan.

“Sejarah saya diduk sini dekat 60 tahun, Menteri Besar baru datang sekali sahaja. Sampai ke hari ini mana ada Datuk Onn Hafiz datang?

“Bayangkan air masuk dalam rumah terlalu cepat tak sampai 10 minit telah sampai pinggang. Saya minta kalau boleh ubah suai untuk pintu air keluar, jadi bila air naik boleh buka secepat mungkin,” katanya yang juga seorang pesara.

Sementara itu, Izah Fauzi, 27, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan memberitahu, ketika kejadian beliau tidak berada di rumah dan hanya dimaklumkan oleh anak-anaknya.

Izah Fauzi

Beliau yang sarat mengandung tujuh bulan bagaimanapun kecewa apabila melihat barang keperluan hampir semuanya musnah.

“Anak-anak telefon beritahu rumah masuk air tapi kakak memang tak sangka air naik begitu tinggi berbeza dengan kejadian sebelum-sebelum ini.

“Habis buku sekolah lama anak-anak. Walaupun buku lama tetapi masih ada yang boleh digunakan,” keluhnya.

Ekoran hujan lebat semalam lebih 30 lokasi dinaiki air disebabkan banjir kilat hingga menyebabkan beberapa jalan di sekitar bandaraya termasuk di Tebrau dinaiki air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast