KUANTAN – Seorang penganggur terselamat daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia menerusi sindiket pekerjaan palsu di Thailand kini gusar apabila diugut oleh scammer.
Mangsa dikenali Ben, 35, mendakwa diugut setelah gagal diperdayakan untuk menaiki pesawat ke negara Gajah Putih itu pada 25 November lalu untuk bekerja di sana.
”Pihak sindiket menyuruh saya menaiki penerbangan pada 24 November 2023 tetapi saya tidak pergi setelah mendengar nasihat daripada keluarga.
”Sehari selepas itu, sindiket menyebarkan dokumen pengenalan diri saya di dalam Facebook dan beri ugutan mengancam nyawa saya dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu, Chang Chung Kuang dan Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia Antarabangsa (MHO), Daniel Khoo.
Mengulas lanjut, Ben bersyukur dan bernasib baik kerana membatalkan hasrat menerima tawaran pekerjaan sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan dengan gaji sekitar RM6,000 hingga RM7,000 sebulan.
Bagaimanapun kini beliau dihantui insiden ancaman oleh pihak sindiket yang memburunya setelah enggan mengikut percaturan oleh kumpulan itu.
”Saya membuat laporan polis kerana risau dengan ugutan oleh pihak sindiket dan kerana mereka mempunyai semua maklumat teantang saya.
”Setelah dinasihati kawan, saya padam akaun Facebook kerana tidak mahu dihubungi oleh mereka (sindiket),” tambahnya.
Ben mengakui pernah mempunyai pengalaman kerja sebagai jurukimpal di China satu ketika masa dahulu mengakui terdesak mencari pekerjaan sehingga hampir mempercayai tawaran bekenaan.
Beliau melayari pautan Facebook dalam kumpulan mencari kerja warga Kuantan dan dihubungi oleh individu menawarkan pekerjaan dengan tiket kapal terbang serta penginapan percuma selain gaji lumayan pada 20 Oktober lalu.
Sementara itu, Chung Kuang menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh oleh mana-mana tawaran pekerjaan di luar negara yang menawarkan pendapatan tidak masuk akal.
Sebaliknya rakyat perlu menjadikan iktibar kisah pemerdagangan manusia yang mengancam nyawa seperti arwah Muhammad Izzat Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 14 Oktober lalu di Myanmar ekoran terjebak sindiket tersebut. – MalaysiaGazette