KUALA LUMPUR — Selepas lima tahun tanpa episod baharu, BoBoiBoy kembali dalam siri animasi terbaharunya, BoBoiBoy Galaxy SORI di mana episod pertamanya meraih 3.5 juta tontonan dalam masa 24 jam sejak ditayangkan secara rasmi di MONSTA Youtube Ahad lepas.
Pengarah Pemasaran dan Jualan MONSTA, Faiz Zainal Abidin berkata, populariti watak BoBoiBoy kini sedang meningkat naik.
Menurutnya, lebih 100,000 penonton hadir secara live dan setia menunggu untuk menonton premier episod pertama BoBoiBoy Galaxy SORI ketika ditayangkan dalam MONSTA Youtube.
“Kalau nak dibandingkan, jumlah ini adalah lebih besar dari kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil yang hanya boleh memuatkan seramai 85,000 penonton pada satu masa.
“BoBoiBoy kini sudah beraksi selama 12 tahun. Kanak-kanak yang mengikutinya sejak kecil kini sudah dewasa atau sudah pun menjadi ibu-bapa.
“Kami menggelarkan mereka sebagai Generasi-B (BoBoiBoy), generasi yang bakal meluangkan masa dengan anak-anak mereka pula untuk bersama-sama menonton dan berkongsi rasa teruja dengan kemunculan episod baharu BoBoiBoy di kaca TV mahupun di tablet dan telefon pintar,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Faiz, tanda pagar #BoBoiBoy dan #GelombangOren turut memasuki carta ‘Trending’ di laman sosial media popular X.com (sebelum ini sebagai Twitter.com) pada hari pertama dan kedua selepas tayangan episod pertama.
Sementara itu, MONSTA turut meraikan seramai 400 orang peminat tegar BoBoiBoy di Megafan Screening BoBoiBoy Galaxy SORI di pusat membeli belah IOI City Mall Putrajaya pada Sabtu lalu dengan tayangan pertama episod satu hingga episod tiga di pawagam GSC.
Faiz berkata, tayangan BoBoiBoy Galaxy dibahagikan kepada empat siri pendek, BoBoiBoy Galaxy SORI, BoBoiBoy Galaxy Windara, BoBoiBoy Galaxy GenBara dan BoBoiBoy Galaxy Gur’latan.
“Setiap siri akan mengandungi enam episod baharu dengan tema yang berbeza, berlatarbelakangkan penceritaan dan pengembaraan yang diolah semula dari siri komik BoBoiBoy Galaxy Musim Ke-2 keluaran MONSTA.
“BoBoiBoy Galaxy SORI kini disiarkan di MONSTA Youtube dan NETFLIX setiap hari Ahad jam 7.30 malam dan di saluran televisyen tempatan TV9 bermula 13 Disember ini pada pukul 6.30 petang,” ujarnya. – MalaysiaGazette