Jafni (tengah) ditemui media seleas mengadakan Mesyuarat Pasukan Khas Mengatasi Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini.

JOHOR BAHRU – Kejadian banjir buruk sekitar bandar raya ini petang semalam dikenal pasti berpunca daripada hujan melebihi taburan normal.

Lebih teruk, ia bertembung dengan air pasang penuh, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Menurutnya, hujan lebat dari pukul 1.30 petang hingga 5 petang mencatat kadar intensiti mencecah 60 milimeter (mm) melebihi kadar normal antara 10 mm hingga 20 mm.

Beliau berkata, semalam juga berlaku air pasang penuh sekitar 2.7 hingga 2.9 meter menyebabkan air tidak boleh mengalir keluar walaupun semua pam air beroperasi sepenuhnya dengan baik.

“Jadi apabila ditambah hujan lebat di kawasan Johor Bahru jadi air tidak boleh keluar jadi diperingkat JPS dan PBT punya pump beroperasi tapi masih tidak mencukupi keluarkan air dalam kuantiti yang banyak.

“Keseluruhan ikut laporan daripada pejabat daerah Johor Bahru kawasan yang terlibat melibatkan 38 lokasi dan 20 lokasi ada dalam bandaraya (MBJB ) dan dua JPS dan 1 JKR

“Pada peringkat task force akan mesyuarat sebulan sekali dan ada beberapa isu melibatkan parit monsun dan kolam takungan termasuk pembangunan projek baharu peringkat pemaju tidak buat sempurna kolam-kolam takungan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Mengatasi Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini.

Mohd Jafni berkata, pelbagai kaedah penyelesaian jangka masa panjang diputuskan bagi mengatasi masalah banjir kilat khusunya di kawasan Greater JB termasuk kawasan MBJB, MBIP, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKU).

Dalam pada itu, kerajan negeri juga mencadangkan semua projek pembangunan terutamanya daripada segi keluasan parit, kolam tadahan dan saliran akan mengambil kira taburan hujan lebih tinggi sehingga 100 mm.

“Kita akan lihat kita punya paras lepasan ialah 100 mm. Maknanya apa sahaja pembangunan yang kita buat selepas ini mesti menjurus kepada 100 mm punya kuantiti hujan yang turun dalam satu-satu masalah untuk jangka masa panjang.

“Jadi di peringkat kerajaan Johor dibantu oleh agensi PBT, JKR, SWcorp dan SWM akan selaraskan di peringkat teknikal iaitu penubuhan satu teknikal dan juga pelantikan konsultan untuk melihat keseluruhan potensi banjir pada masa akan datang dan kita harap dengan adanya mesyuarat penyelarasan isu banjir kilat akan buat berterusan dan bukan hanya ada banjir baru mesyuarat.

“Sebenarnya peringkat PBT kita telah peruntuk MBJB sahaja lebih kurang RM30 juta untuk tahun ini dan tahun depan. Maksudnya RM60 juta,” ujarnya.

Katanya, mesyuarat pasukan khas itu akan diadakan sebulan sekali dengan kerja penyelenggaraan dilaksanakan bermula hari ini dan berterusan bagi mengatasi masalah banjir kilat daripada berulang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast