Jenama terkemuka di Malaysia dan Asia selama lebih 131 tahun, Ayam Brand kini kembali dengan Kempen Komuniti Penyayang 2023 dalam usaha membantu kanak-kanak yang memerlukan di negara ini.

KUALA LUMPUR – Jenama terkemuka di Malaysia dan Asia selama lebih 131 tahun, Ayam Brand kini kembali dengan Kempen Komuniti Penyayang 2023 dalam usaha membantu kanak-kanak yang memerlukan di negara ini.

Pengurus Pemasaran A. Clouet (Malaysia) Sdn. Bhd., Teoh Wei Ling berkata, bertemakan #AyamBersamaMu yang berkonsepkan ‘Tambah Sihat Bersama Ayam Brand’ – kempen tersebut akan mendekati lebih 1,000 kanak-kanak dari 25 organisasi bukan kerajaan di tujuh negeri untuk menyediakan bekalan makanan selama dua bulan atau kira-kira 35,028 makanan berkhasiat.

“Risiko malnutrisi berganda dan miopia dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk organisasi seperti Ayam Brand. Inilah sebab Ayam Brand mengambil pendekatan untuk membantu.

“Secara ideal, kanak-kanak perlu mendapatkan makanan berkhasiat sejak mereka lahir. Ayam Brand mempunyai sejarah yang panjang dalam menyumbang produk berkhasiat dan sihat kepada komuniti, malah kami akan meneruskan komitmen ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Wei Ling, bukan sekadar menyumbang produk makanannya, Ayam Brand dengan usaha sama KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) akan mengadakan bengkel pemakanan sihat bagi membimbing kanak-kanak mengenai pilihan makanan yang lebih berkhasiat berdasarkan konsep 3S (Suku-suku Separuh) Pinggan Sihat Malaysia.

Bagi menangani masalah penglihatan, Ayam Brand bekerjasama dengan Focus Point Vision Care Group Sdn. Bhd. untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan mata dan cermin mata preskripsi secara percuma kepada kanak-kanak yang memerlukan di rumah amal terbabit.

Di samping itu, setiap rumah yang mengambil bahagian akan turut menerima produk-produk Ayam Brand yang kaya dengan protein, kalsium, Omega-3 dan serat termasuk Tuna Mayones Ayam Brand, Kacang Panggang dalam Sos Tomato Ayam Brand dan Soya Kepingan Lepa Ayam Brand.

Kata Teoh Wei Ling lagi, Kempen Komuniti Penyayang Ayam Brand, yang kini memasuki tahun ke-16, telah menyumbang lebih 2.1 juta hidangan sihat dan menyediakan makanan berkhasiat kepada lebih 27,293 individu di 610 rumah kebajikan dan NGO.

“Sungguh pun demikian, walaupun kami percaya bahawa penyediaan produk kami merupakan satu penyelesaian segera, tetapi untuk jangka panjang, mendidik kanak-kanak untuk membuat pilihan makanan yang lebih sihat merupakan satu keutamaan.

“Produk ikan kami kaya dengan protein, kalsium, Omega-3 serta vitamin dan mineral yang memberi manfaat kesihatan kepada kanak-kanak termasuk kesihatan mata mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast