Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor bergelap lebih 12 jam. Foto media sosial

KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) memandang serius apabila Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang menjadi pintu keluar masuk negara bergelap lebih 12 jam akibat gangguan elektrik dan mengakibatkan pemeriksaan imigresen terganggu.

Gangguan elektrik itu turut menyebabkan pemeriksaan imigeren terpaksa dilakukan secara manual dalam keadaan gelap dan panas.

Presiden KPISM, Ajeet Singh A/L Gurbax Singh berkata, gangguan bekalan elektrik ini bukan sahaja menjejaskan sistem dan urusan imigresen bahkan ia turut memalukan nama baik negara kerana berlaku di pintu masuk utama negara.

Ia secara tidak langsung menyebabkan isu keselamatan negara sudah mula dipersoalkan oleh pelbagai pihak.

Katanya, pada 5 Disember 2023 jam lebih kurang 7.45 malam, semua zon di BSI tiada bekalan elektrik akibat kerja penyelenggaran Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Lebih kurang 8.30 malam, sistem bekalan elektrik telah pulih semula di semua zon tetapi menyebabkan ganguan pada sistem imigresen. Pada jam 10.30 malam telah berlaku sekali lagi gangguan bekalan elektrik di zon laluan bas dan motorsikal.

“Pada 6 Disember 2023 jam lebih kurang 04.30 pagi bekalan elektrik pulih semula di laluan motorsikal dan hanya pada jam 09.00 pagi pulih semula di laluan bas. Bekalan elektrik pulih sepenuhnya di semua zon pada jam lebihkurang 9.13 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ajeet berkata, walaupun TNB ada memberi notis awal berkaitan ganguan bekalan elektrik dan menyediakan bekalan elektrik sementara melalui 10 buah power generator tetapi kerosakan berulang pada power generator telah mengakibatkan gangguan bekalan elektrik berterusan.

“TNB sepatutnya mempunyai pelan kontigensi pertama dan kedua bagi mengelak situasi ini,” ujarnya sambil memetik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyifatkan insiden ini amat memalukan kerajaan negeri.

Menurut Ajeet, insiden ini juga mencabar kredibiliti negara dalam aspek pengurusan sistem dan tindakan berdepan perkara luar jangka di premis kerajaan miliki tahap keselamatan tinggi.

Tegasnya, KPISM berharap ianya tidak berulang lagi kerana melibatkan imej dan keselamatan negara serta mohon semua pihak berwajib belajar dari kejadian ini dan merangka satu Pelan Kontingensi Pengurusan Risiko.

Bahkan, Pengurusan Risiko Pintu Masuk Negara perlu ditubuh segera untuk merangka pelan kecemasan dan tindakan-tindakan yang perlu dilakukan dalam keadaan luar jangka.

“Jika pelan suda ada, mengapa tidak diaktifkan dan siapa yang harus dipertanggungjawabkan?,” soalnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bro Ajeet,
    why put blame only on TNB? what is the root of the issue?
    11 generators are belong to JKR, and due to poor maintenance culture of JKR, their head should get roll first.

Comments are closed.