Tebusan Israel mendakwa mereka tidak diserang oleh Hamas sebaliknya tentera Israel.

ISTANBUL – Sebuah helikopter tentera rejim Zionis menembak ke arah tebusan Israel yang ditangkap oleh Hamas pada 7 Oktober dalam perjalanan mereka ke Gaza, menurut video yang bocor, mendedahkan pembunuhan tersebut.

Audio yang bocor, sebahagian daripadanya diterbitkan di laman berita Israel Ynet, mendedahkan pertemuan pada hari Selasa antara bekas tebusan Israel, saudara-mara mereka yang masih ditahan, dan Kabinet semasa perang Israel.

Seorang tebusan wanita yang dibebaskan kedengaran dalam rakaman itu berkata: “Perasaan yang kami ada di sana ialah tiada siapa yang melakukan apa-apa untuk kami. Hakikatnya ialah saya berada di tempat persembunyian yang dibedil, dan kami terpaksa diseludup keluar, dan kami cedera. Helikopter itu yang menembak kami ketika dalam perjalanan ke Gaza.”

Dia menambah: “Hakikatnya kami dibedil, hakikatnya tiada siapa yang tahu apa-apa tentang di mana kami berada … Anda mendakwa terdapat risikan. Tetapi hakikatnya ialah kami dibedil. Suami saya telah dipisahkan daripada kami tiga hari sebelum kami kembali ke Israel dan dibawa ke terowong (Hamas).

Dalam butiran pertemuan itu, tebusan yang dibebaskan oleh Hamas dan saudara-mara mereka yang bertemu dengan Benjamin Netanyahu menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap perdana menteri akibat serangan udara Israel ke atas Gaza.

Seorang lagi tahanan, yang dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tebusan antara Israel dan Hamas, berkata: “Saya ditawan dan saya memahami kesusahannya. Setiap hari dalam kurungan adalah amat mencabar.

“Kami berada di dalam terowong, takut tapi bukan disebabkan Hamas, tetapi Israel, yang akan membunuh kami, dan kemudian mereka akan mengatakan Hamas membunuh anda.

“Jadi, saya sangat menggesa agar pertukaran tahanan bermula secepat mungkin dan semua orang perlu kembali rumah. Seharusnya tiada hierarki. Semua orang adalah sama penting.”

Israel meneruskan serangan ketenteraannya di Semenanjung Gaza pada 1 Disember selepas gencatan senjata selama seminggu dengan Hamas berakhir.

Sekurang-kurangnya 17,177 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 46,000 lagi cedera dalam serangan udara dan darat Israel yang tidak henti-henti sejak 7 Oktober berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast