eMadani
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perbuatan mengenakan caj perkhidmatan bagi pertukaran kredit eMadani kepada bentuk tunai atau pemindahan ke bank simpanan adalah termasuk dalam perbuatan riba yang diharamkan syarak.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, hasil caj perkhidmatan yang dikenakan daripada pertukaran itu merupakan wang tidak patuh syariah yang haram digunakan.

“Oleh itu, nilai tambahan yang diperoleh wajib dikembalikan kepada pemiliknya.

“Sekiranya harta tersebut tidak dapat dikenal pasti pemiliknya, maka wajib disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal,” jelasnya dalam Irsyad Al-Fatwa siri ke-812 yang disiarkan dalam portal pejabat berkenaan, hari ini.

Penjelasan itu adalah bagi menjawab kemusykilan mengenai hukum mengenakan caj bagi perkhidmatan menukar kredit RM100 eMadani kepada bentuk tunai seperti yang ditawarkan pihak tertentu melalui media sosial.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menambah, perbuatan itu juga dikira menyalahi terma dan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Jelasnya, keredaan si pemberi adalah berdasarkan syarat yang ditentukan.

“Sekiranya syarat tersebut dilanggar, maka hilang reda atas pemberian tersebut dan mengakibatkan pemberian itu tidak sah mahupun terbatal kerana berlaku tanpa keredaan,” katanya.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan itu juga dianggap melanggar undang-undang yang mana perkara tersebut ditegah syarak tanpa mengira transaksi tersebut melibatkan riba atau tidak. – MalaysiaGazette