Antonio Guterres. foto Agensi

NEW YORK – Rejim Israel gagal untuk memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memecat setiausaha agungnya, Antonio Guterres.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, kedudukan dan jawatan Guterres akan kekal sehingga mandatnya tamat.

Beliau menjawab tuntutan Israel yang menggesa untuk peletakan jawatan Guterres selepas beliau memohon artikel yang jarang digunakan dalam Piagam PBB mengenai konflik di Gaza.

“Anda boleh mengharapkan Setiausaha Agung akan berada di tempat kerja esok dan sehingga tamat mandatnya,” kata Stephane Dujarric kepada pemberita di New York seperti yang dilaporkan oleh Anadolu.

Pada hari Rabu, Guterres buat pertama kali dalam tempoh perkhidmatannya, menggunakan Artikel 99 Piagam PBB menggesa Majlis Keselamatan PBB bertindak ke atas perang di Gaza.

Menurut Artikel 99, Setiausaha Agung boleh membawa kepada perhatian Majlis Keselamatan apa-apa perkara yang pada pendapatnya boleh mengancam pengekalan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Dalam surat itu, Guterres menggesa Majlis Keselamatan untuk membantu mengelak malapetaka kemanusiaan dan merayu agar gencatan senjata kemanusiaan diisytiharkan.

“Harapan Setiausaha Agung terhadap Majlis Keselamatan dalam melaksanakan tanggungjawabnya di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah sangat jelas dalam surat itu, yang beliau menyebut artikel 99 buat kali pertama,” kata Dujarric.

Sebelum ini, Menteri Luar Israel, Eli Cohen menuduh Guterres menyokong kumpulan pejuang Palestin Hamas dan menggesa peletakan jawatannya.

Dia berkata, tempoh beliau sebagai ketua badan dunia itu adalah “bahaya kepada keamanan dunia” dalam reaksi yang penuh marah terhadap gesaan Guterres supaya gencatan senjata.

Israel turut berang dengan tindakan Gutteres menggunakan klausa yang jarang berlaku dalam piagam PBB untuk mendesak campur tangan Majlis Keselamatan.- Agensi