KUALA LUMPUR – Dalam usaha menambah kecekapan operasi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), seorang pemain industri perkapalan meminta Menteri Pengangkutan mengkaji keperluan untuk menambah baik baik agensi itu.
Bercakap dengan MalaysiaGazette, pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyendran mahu Anthony Loke campur tangan bagi memastikan kebimbangan segelintir pemain industri perkapalan terhadap LPK dapat diatasi segera.
Kata Jeyenderan isu yang dibangkitkan olehnya bukan untuk memberikan gambaran negatif sebaliknya ianya dikaji semula sekiranya pelabuhan terbesar negara itu ingin terus bersaing dengan pelabuhan-pelabuhan lain di rantau.
“Dari awal lagi saya sudah lantang mempersoalkan polisi dan SOP yang dikenakan, bukan kerana hendak beri imej negatif atau apa jua dakwaan sebaliknya kita sebagai pemain industri mahu yang terbaik, persaingan hebat yang mampu bawa pulangan besar sekaligus angkat ekonomi negara dan rakyat.
“Kebimbangan paling ketara LPK yang selalu saya cakap termasuklah kelewatan menyediakan maklumat yang diminta bukan sahaja kita tetapi juga pelanggan luar negara, pengabaian prosedur operasi standard (SOP) secara terang-terangan selain kegagalan keseluruhan untuk menyesuaikan diri dengan permintaan industri maritim.
“Pelabuhan Klang adalah aset ekonomi yang penting mempunyai potensi besar untuk keuntungan besar tetapi dengan pengurusan sedia ada sangat kesal untuk diperhatikan bahawa Pelabuhan Klang tidak merebut peluang ini untuk meningkatkan penjanaan hasil dan kecekapan operasi, mohon sangat MOT campur tangan,” katanya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
20 tahun Maritime Network, Jeyenderan harap industri perkapalan terus mantap
Jeyenderan juga mendedahkan sebelum tampil bercakap dengan media beliau telah menghantar satu memorandum kepada Menteri Pengangkutan melalui e-mel agar segera campur tangan dan kaji semula pengurusan LPK.
Jelasnya, apa yang disuarakan olehnya tidak berkaitan dengan apa-apa agenda peribadi sebaliknya bersuara mewakili segelintir pemain industri perkapalan di negara ini.
“Untuk makluman, dalam industri maritim ini ada lebih 300 syarikat tempatan berurusan dengan LPK hampir setiap hari. Jadi, permintaan saya kepada menteri lebih kepada suara semua pihak dalam industri ini,” ujarnya.
Kata Jeyenderan yang sudah lebih 30 tahun bergelumang dalam industri perkapalan juga kecewa dengan kenyataan LPK berkaitan insiden bot barter trade merempuh jeti Royal Selangor Yacht Club, Pelabuhan Klang minggu lepas.
Kata Jeyenderan, beliau cukup terkejut apabila LPK mendakwa insiden seperti itu jarang berlaku dan akan mengambil langkah supaya ia tidak berulang.
“Dalam SOP sedia ada, LPK sepatutnya hantar pilot, bot tunda mengemudi setiap kapal yang masuk ke perairan Pelabuhan Klang supaya pilot boleh berhubung dengan pihak pelabuhan jika berlaku sebarang kecemasan.
“Dan dalam keadaan seperti kerosakan enjin kapal maka bot tunda ini akan dipasangkan dengan kapal untuk mengelak kemalangan. T
“etapi saya diberitahu tidak ada pun pilot atau bot tunda. Sedih sekali apabila kata ini satu kemalangan jarang berlaku, siapa yang kita boleh pertanggungjawabkan? Andai ada kehilangan nyawa?” soalnya.
Jeyenderan juga sentiasa berhubung dengan LPK melalui e-mel apabila berlakunya isu-isu seperti namun sentiasa mendapat maklumbalas tidak memuaskan.
“Bila sebelum ini, saya kata LPK tidak cekap, mereka melalui kenyataan media mendakwa saya melanggar SOP dengan membawa kapal bersaiz besar. Bila saya hantar notis peguam, mereka balas kata mereka tidak maksudkan saya dalam kenyataan itu. Jangan baling batu sembunyi tangan.
“Saya harap mereka (LPK) akan belajar terima kritikan, duduk bersama semua pemain industri adakan sesi dialog dan sebagainya untuk penambahbaikan sebarang kelemahan dibangkitkan pemain industri bukan saya seorang sahaja,” tegasnya. – MalaysiaGazette