LAHAD DATU – Penilaian ancaman penculikan kru untuk tebusan di Laut Sulu-Sulawesi pada ketika ini menunjukkan petanda positif iaitu daripada tahap tinggi sebelum ini kepada sederhana, kata Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos.
Beliau berkata perkara itu berdasarkan laporan mengenai insiden pelanunan dan rompakan terhadap kapal di Asia untuk 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Regional Cooperation Agreement On Combating Piracy and Armed Robbery against Ships in Asia (ReCAAP) dari Singapura.
“Penilaian ini merupakan satu petanda begitu bagus kerana daripada tinggi kepada tahap sederhana, kalau kita tengok penculikan terakhir sekali di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone) adalah pada 15 Jan 2020,” katanya kepada Bernama.
ESS Zone meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Pitas, Kota Marudu, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna serta Tawau.
Menurut Victor, ESSCOM dikoordinasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di ESS Zone berusaha memperhebat kawalan keselamatan dalam menangani sebarang jenayah di sempadan negara dengan Filipina dan Indonesia terutama di Laut Sulu.
Dalam pada itu, beliau berkata penjenamaan perintah berkurung kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ESS Zone Sabah serta pengecilan kawasan penguatkuasaan PKP ESS Zone memberi impak positif kepada sektor pelaburan asing serta pelancongan membawa manfaat kepada penduduk di kawasan itu.
“Kehadiran pelancong ini satu aset negara, dan saya sendiri melihat pelancong sebagai aset ESS Zone. Saya mesti jaga aset ini, ESSCOM mesti jaga, oleh itu penting untuk memberi keadaan atau situasi rasa selamat kepada semua pengunjung di ESS Zone.
“Saya percaya hari ini mereka datang sebagai pelancong dan mungkin esok mereka kembali semula sebagai seorang pelabur kerana kepercayaan terhadap keselamatan dan peluang ekonomi di pantai timur Sabah,” katanya.
Sementara itu, Victor berkata ESSCOM sedang membangunkan aplikasi keselamatan khusus untuk pelancong di ESS Zone dan aplikasi itu dijangka diperkenalkan tahun hadapan.
Katanya, aplikasi dibangunkan itu tidak melibatkan peruntukan kerajaan dan sebuah syarikat ditugaskan mereka bentuk sekali gus membangunkan aplikasi berkenaan.
“Saya sendiri juga akan memberi pandangan kerana pengalaman yang saya ada untuk membantu membangunkan aplikasi ini,” katanya.
Untuk rekod, Victor mempunyai kepakaran dalam bidang siasatan dan teknologi termasuk merupakan perintis menubuhkan Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Unit Forensik Komputer (Komputer dan Telefon bimbit) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1997.
Menurutnya, baru-baru ini beliau memberikan konsep aplikasi ini dan berbincang dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew yang menerima baik aplikasi itu dan jelas membantu pelancong berkaitan keselamatan.
Victor berkata kerjasama turut diperlukan dari pihak Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta semua yang terlibat untuk membantu mempromosi penggunaan aplikasi keselamatan itu kepada pelancong ke ESS Zone apabila dilancarkan nanti.
“ESSCOM hanya mahu memastikan bahawa keselamatan pelancong ini terjamin, sekiranya ada masalah mereka (pelancong) boleh bagi tahu dan kita akan hantar aset terdekat, mereka boleh memasang aplikasi ini dan nyahpasang bila pulang jika mereka mahu,” katanya. – BERNAMA