Kapal minyak yang diserbu pasukan polis JKDNKA Bukit Aman di pelabuhan Klang sebelum berjaya membawa kepada tangkapan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi bernilai RM14.3 juta pada 6 Disember lalu.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Lembah Klang pada 6 Disember lalu dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor

Seramai enam lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam aktiviti haram itu ditahan polis.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, berpandukan kepada soal siasat ke atas suspek yang ditahan itu, pasukannya telah melakukan satu lagi serbuan terhadap sebuah kapal minyak di pelabuhan tersebut.

“Hasilnya pasukan polis berjaya merampas sebanyak 138,982 liter minyak diesel bersubsidi dan pam minyak beserta hos dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM14,300,000.

“Kes berkenaan termasuk enam suspek warga asing yang ditahan itu memiliki pasport perjalanan yang sah dan sedang disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Hazani, pihaknya masih melakukan siasatan bagi mengenalpasti dalang utama aktiviti penyeludupan minyak diesel bersubsidi itu.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya melakukan 66 serbuan dan operasi terhadap barang kawalan serta diesel bersubsidi untuk tempoh 1 Januari hingga hari ini dan 240 individu ditangkap dengan merekodkan nilai rampasan barang bersubsidi berjumlah RM73.8 juta. – MalaysiaGazette