Norliza Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan pulangan pelaburan deposit Simpan SSPN sebanyak RM287.64 juta bagi tempoh Januari sehingga September 2023 sekaligus menyaksikan pencapaian hasil pelaburan yang lebih baik berbanding RM220.63 juta bagi tempoh yang sama tahun 2022.

Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR)) kepada 3.00% pada 3 Mei 2023 sehingga kini membantu PTPTN memperoleh pulangan pelaburan yang lebih konsisten, kata Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim.

“Peningkatan keuntungan ini disokong oleh kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif.

“Pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, Norliza berkata, penglibatan pelaburan dalam
pasaran sukuk juga membantu dalam peningkatan pulangan pelaburan tersebut.

Ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam Simpan SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi.

Menurut Pengerusi PTPTN, pemberian kadar dividen Simpan SSPN bagi tahun 2022 adalah sebanyak 3.05 peratus.

Justeru itu, melihat kepada peningkatan keuntungan pelaburan dan trend prestasi deposit Simpan SSPN yang membanggakan setiap tahun serta disokong dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat Simpan SSPN yang ditawarkan, PTPTN menjangkakan pemberian kadar dividen Simpan SSPN bagi tahun 2023 akan meningkat berbanding tahun 2022.

“Saya menyeru kepada ibu bapa untuk membuat simpanan di Simpan SSPN kerana pelbagai keistimewaan dan manfaat turut dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN, antaranya produk simpanan ini merupakan satu-satunya yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun selain turut memberikan perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah,” ujarnya lagi.

PTPTN akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman.

PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai ‘Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara’. – MalaysiaGazette