Hussein Omar Khan . Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Seramai 20 individu, termasuk ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, telah memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selain ibu bapa kanak-kanak berusia 6 tahun itu, turut diambil keterangan ialah jiran mangsa, jiran komuniti, guru sekolah dan saksi dalam kes tersebut.

“Selain itu, pakaian yang dipakai ketika mayat mangsa ditemui sudah diserahkan ke Jabatan Kimia untuk dianalisa dan sedang menunggu keputusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Hussein mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas keputusan bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Mayat mangsa ditemui di saliran air berdekatan takungan air yang terletak 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira jam 10 malam Rabu lalu.

Sementara itu, Hussein memberitahu, polis akan membuat operasi secara berterusan bagi mengumpul maklumat dan keterangan yang dimiliki kini terhad dan tidak mencukupi untuk mengesan suspek pembunuhan kanak-kanak lelaki itu.

“Polis kini perlu bekerja lebih keras untuk mengumpul maklumat yang boleh membawa kepada petunjuk baharu dalam membantu siasatan,” ujarnya sambil menambah polis masih menunggu keputusan analisa forensik daripada Jabatan Kimia yang diharapkan memberi petunjuk bagi mengecilkan skop siasatan.

Mengenai proses mengumpul maklumat menerusi pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah, Hussein berkata, ia akan dijalankan semula pada petang dan malam ini yang mana setakat ini sebanyak 540 kediaman terlibat.

Apartmen Idaman di Damansara Damai, dekat sini, yang juga merupakan tempat tinggal ibu bapa Zayn memiliki 18 blok yang terdiri daripada 2,484 unit rumah serta premis kedai.-MalaysiaGazette